Zul keliru
Zul keliru
Rudy Imran Shamsudin

Pelakon Zul Ariffin keliru dengan kemelut yang timbul membabitkan kekasihnya Zahirah Mcwilson bersama pasangan kekasih Kamal Adli dan Emma Maembong.

Pelakon utama filem Tombiruo itu yang mengambil sikap berdiam diri sepanjang isu terbabit dibangkitkan berkata, dia hanya mengetahui perkara itu menerusi media.

Zul, 31, juga mengakui penjelasan yang diberikan Zahirah, Kamal dan Emma dalam pertemuan mereka sama dengan apa yang dinyatakan pihak media.

"Percaya atau tidak dengan penjelasan yang diberikan itu biarlah saya simpan untuk diri sendiri, tapi saya ada soalan untuk mereka bertiga itu. Apa yang anda semua buat? Adakah untuk memenangi pertandingan? Meraih populariti atau mengeratkan silaturrahim? Adakah juga untuk mempromosi drama atau ada sebab yang saya sendiri tidak faham," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Zahirah selepas isu terbabit timbul, Zul enggan mengulas dan menegaskan tidak mahu terbabit dengan 'drama' yang ditimbulkan.

Zul berkata, sebelum ini dia tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai isu itu kerana terikat dengan promosi filem dan drama.

"Mereka juga pelakon dan sepatutnya mereka faham dengan situasi yang saya alami. Saya tidak boleh bercakap mengenai perkara terbabit kerana saya ada kerja yang harus diberi tumpuan.

"Mengheret dan mengaitkan nama saya dalam kemelut yang cuba ditimbulkan adalah sangat tidak bagus," katanya.

Zul berkata, kemelut membabitkan Zahirah, Kamal dan Emma itu sangat tidak sihat.

"Nasihat saya apabila seseorang itu berlakon di set buatlah kerja dan jangan sampai membawa 'drama' ke luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 2:44 AM