Norizuan Shamsuddin


POLIS menahan enam lelaki yang bergaduh selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berdekatan pusat beli-belah IOI Mall, Puchong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan kereta model Proton Satria Neo dan Toyota Vios di lokasi terbabit, pada jam 1.15 petang.

Katanya, sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) dikerahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.

“Semasa anggota tiba di lokasi, didapati berlaku pergaduhan antara pemandu kenderaan terbabit dan anggota mengarahkan supaya mereka bersurai tetapi mereka enggan mematuhi arahan polis.

"Malah, pemandu kereta Proton Satria Neo bertindak masuk ke dalam kereta dan mengundurkan kenderaan dengan laju serta melanggar kereta Toyota Vios terbabit.

"Kejadian turut menyebabkan kereta MPV polis yang berada di belakang kereta Toyota Vios turut dilanggar akibat rempuhan kuat itu," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, susulan kejadian pihak polis menahan enam suspek berusia 40an dan mereka di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi tindakan lanjut.

Rakaman video kejadian terbabit turut tular di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 10:41 PM
Polis cuba menyuraikan pergaduhan antara pemandu dan beberapa lelaki selepas kemalangan terbabit. FOTO Ihsan PDRM
Polis cuba menyuraikan pergaduhan antara pemandu dan beberapa lelaki selepas kemalangan terbabit. FOTO Ihsan PDRM