GAMBAR bayi adalah foto hiasan manakala foto yang dibulatkan adalah kenyataan yang dikeluarkan.
GAMBAR bayi adalah foto hiasan manakala foto yang dibulatkan adalah kenyataan yang dikeluarkan.
Mohd Sabran Md Sani


KELUARGA Diraja Johor, terutama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari memperoleh perkhabaran gembira.

Ini berikutan Che' Puan Khaleeda Bustamam selamat melahirkan putera mereka di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA), pagi ini.

Pengumuman kelahiran terbabit dikeluarkan menerusi kenyataan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menerusi Facebook (FB) Johor Southern Tigers (JST).

"Jumaah Majlis Diraja sukacita mengumumkan keputeraan waris takhta Kerajaan Negeri Johor," katanya berkongsi berkaitan Percanangan Dalam.

Sementara itu, JST turut merafak syukur dengan berkongsi status keputeraan putera Tunku Ismail.

"Merafak syukur kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi tahniah kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan YM Che Puan Khaleeda atas keputeraan waris kepada takhta kerajaan Johor pada 14 Oktober 2017 di Wad DiRaja, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

"YM Che Puan Khaleeda dan puteranya berada dalam keadaan sihat walafiat," kata kenyataan itu.

Tahun lalu isteri TMJ itu melahirkan cucu sulung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah, pada 9.17 pagi.

Che Puan Khaleeda Bustaman selamat melahirkan puteri sulung di Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada 25 Jun tahun lalu.

Berita kelahiran puteri Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimaklumkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menerusi kandungan surat Jumaah Majlis Diraja Johor pada 25 Jun 2016 bersamaan 20 Ramadan 1437, di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 12:36 PM