RAQIM (dua belas dari kiri) bersama peserta GV4 dan tenaga penggerak program realiti itu.
RAQIM (dua belas dari kiri) bersama peserta GV4 dan tenaga penggerak program realiti itu.
HM Digital

Musim keempat Gegar Vaganza 4 (GV4) menampilkan kelainan apabila disertai penyanyi dari Singapura dan Indonesia untuk memeriahkan pentas program realiti itu.

Ferhad dan dan Firman Siagan akan bersaing bersama 10 penyanyi tanah air iaitu Raja Azura, Aishah, Liza Hanim, Syura, Haida, Elyana, Aqasha, Tia Jinbara, Hazami dan Lan Kristal.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Ferhad dan Firman dijemput menyertai GV kerana lagu mereka dikenali pendengar Malaysia.

“Kami sentiasa mencari kelainan bagi menarik minat penonton. Memang ada penyanyi dari luar negara meluahkan hasrat ingin menyertai GV, namun sebagai permulaan kami mengundang mereka dulu,” katanya.

Raqim berkata, program realiti itu masih mengekalkan format asal dan berkemungkinan menjemput profesional luar sebagai juri.

“Datuk Ramli MS masih dilantik sebagai juri tetap manakala seorang lagi juri akan diumumkan pada konsert pertama,” katanya.

Mengenai barisan peserta, Raqim berkata, pemilihan penyanyi untuk musim ini antara cabaran besar bagi produksi GV.

“Setiap peserta mempunyai portfolio mengagumkan dalam bidang nyanyian dan pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dulu.

“Bahkan, ada antara mereka pernah menerima anugerah daripada beberapa acara berprestij tanah air,” katanya.

Ujarnya, melalui GV, muzik dijadikan sebagai salah satu kayu penghubung kepada Malaysia dengan Indonesia dan Singapura bagi membolehkan penyanyi berkarya.

“Musim baru GV dianggap sebagai langkah awal usaha untuk bersama-sama memartabatkan karya seni menerusi muzik.

“Saya percaya jika disusun rapi dan dijalin dengan teliti, tidak mustahil jurang pasaran muzik tanah air ke pasaran negara jiran mampu dirapatkan, sekali gus dapat mengukuhkan lagi hubungan di antara negara serantau,” katanya.

Seperti musim lalu, Nabil Ahmad dan Jihan Muse kembali mengalas tanggungjawab sebagai pengacara.

Juara Gegar Vaganza musim keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, manakala pemenang tempat kedua menerima RM50,000.

Musim pertama Gegar Vaganza dimenangi Ayai, diikuti Siti Nordiana pada musim kedua dan Azharina muncul juara musim ketiga.

GV4 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 29 Oktober ini secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dan boleh disaksikan menerusi saluran Astro Ria, jam 9 malam. - Michelle Gun

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:37 AM