Zatul Iffah Zolkiply


KERAJAAN negeri Terengganu bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menilai semua pokok yang berada di jalan utama dan kawasan rekreasi di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penilaian itu dibuat dengan mengambil kira keselamatan orang awam dan faedah pokok yang ditanam kepada persekitaran.

Beliau berkata, pihaknya melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan FRIM akan bekerjasama untuk membuat penilaian terhadap semua pokok yang berisiko kerana tidak boleh mengambil tindakan drastik dengan melakukan penebangan.

"Beberapa pegawai daripada FRIM juga datang ke sini (Terengganu) untuk membuat penilaian dan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kita perlu faham ada sesetengah pokok memberi manfaat kepada persekitaran termasuk membekalkan oksigen dan sebagainya... jadi kita tidak boleh menebang sesuka hati.

"Buat masa ini, PBT sedang giat mencantas dan membersihkan pokok-pokok di jalan utama supaya keselamatan awam lebih terjamin selain menceriakan kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Kacau Sura Perdana Daerah Kuala Nerus di perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 117 pasukan terdiri Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pertandingan memasak bubur asyura bertemakan cara lama dimensi baharu itu.

Katanya, sekiranya pokok-pokok yang dinilai memberi risiko tinggi kepada orang awam maka ia akan ditebang secara berperingkat, manakala pokok-pokok yang kurang berisiko pula akan dirapikan dengan mencantas dahan tidak diperlukan.

Portal berita Harian Metro sebelum ini melaporkan dua maut manakala tiga cedera selepas dua kenderaan dihempap dahan pokok di Kampung Mengabang Lekor, Kuala Nerus pada 7 Oktober lalu.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, pemandu van Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (SBPIBR) Mohd Amin Ibrahim, 36, dan pelajar SBPIBR Muhammad Zulfahmi Abd Halim, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Selain itu, seorang lagi pelajar, Muhammad Zul Afkar Fauzi, 17, bersama pemandu Perodua Kancil Norliza Mat Hasan, 40-an, dan anaknya, Nor Zafirah Bazardi, 20-an, pula dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu akibat cedera.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pelajar harapan SPM 2017

2 maut, 3 parah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 2:23 PM