EZZATY Abdullah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
EZZATY Abdullah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir


Pelakon Ezzaty Abdullah yang kini hamil tujuh bulan berkongsi cerita dia mengamalkan membaca ayat suci al-Quran bagi memudahkan proses bersalin yang dijangka awal Disember depan.

Pada masa sama, Ezzaty, 27, turut memainkan radio dengan bacaan al-Quran yang diletakkan di perutnya selain membaca surah al-Fatihah dan ayat Kursi sebelum tidur.

“Alhamdulillah, kandungan saya dalam keadaan sihat. Sepanjang mengandung saya banyak mendapat tip daripada ibu bapa dan orang sekeliling. Paling penting, emak sentiasa mengingatkan agar jangan lupa membaca al-Quran.

“Setiap kali selepas solat, saya membaca surah Yusuf dan Maryam. Sebelum tidur pula, saya tidak ketinggalan mengamalkan surah al- Fatihah dan ayat Kursi. Bukan itu saja, suami juga selalu memperdengarkan selawat.

“Apa saya perasan, setiap kali mengaji atau suami perdengarkan selawat di perut saya, bayi mesti tendang. Ketika itu saya berasa sayu dan terharu. Semakin tidak sabar untuk menyambut kelahirannya. Saya sentiasa berdoa semoga semuanya dipermudahkan nanti,” katanya.

Ezzaty turut mengakui pengalaman mengandung anak pertama ini membuatkan dia teruja, namun pada masa sama tidak dapat menyembunyikan perasaan takut.

Namun, Ezzaty yang juga pelakon filem Mirip bertuah kerana mendapat banyak perkongsian tip ibu mengandung dan selepas bersalin.

“Selepas disahkan hamil, ramai rakan yang berkongsi cerita dan pengalaman mereka. Sedikit sebanyak membuatkan saya takut. Namun perasaan itu dikaburi dengan rasa teruja.

“Saya juga terharu kerana hampir setiap hari ada yang berkongsi tip. Kebanyakannya pula adalah perkara baru untuk dipelajari. Terima kasih kerana mengambil berat,” katanya.

Berkongsi mengenai persiapan menyambut kelahiran anak sulung, Ezzaty berkata, dia dan suami yang juga pelakon Azwan Kombos belum menyediakan sebarang kelengkapan.

“Buat masa sekarang, kami baru beli kereta sorong bayi. Kelengkapan lain belum lagi kerana jantina anak belum diketahui. Lagipun, masih terlalu awal untuk kami menyediakan segala kelengkapan berkenaan.

“Namun, saya dan suami jenis yang suka buat ‘survey’ dulu. Kalau bukan di kedai, kami akan melayari secara online. Tipu kalau cakap tidak ada keinginan nak berbelanja, cuma saya dan suami ingin elak pembaziran,” katanya.

Meski belum mengetahui jantina anak, Ezzaty dan suami sudah menyenaraikan beberapa nama.

“Kalau nak tahu, pemilihan nama ini difikirkan sebelum saya hamil lagi. Bukan apa, sejak berkahwin, saya suka berangan terutama apabila dikurniakan anak kelak. Pelbagai perancangan dalam fikiran,” katanya.

Berehat daripada berlakon

Mengenai kerjaya lakonannya, Ezzaty mengambil keputusan berehat kerana berasa cepat letih.

Pada masa sama, Ezzaty enggan menyusahkan pihak lain dengan memberikan syarat tertentu disebabkan keadaan kesihatannya.

“Sejak disahkan mengandung, saya tidak menerima tawaran berlakon kerana mahu berehat secukupnya.

Saya mahu menjaga diri dan bayi dalam kandungan sebaik mungkin. Saya juga bersyukur kerana sepanjang mengandung tidak berdepan masalah kesihatan.

“Saya hanya muntah-muntah biasa saja. Sebaliknya, suami pula yang mengalami alahan yang teruk. Dia kerap muntah dan pening ketika berada di lokasi penggambaran,” katanya .

Namun, Ezzaty yang muncul dalam filem Kau Takdirku pada 7 September lalu tetap memberikan sepenuh komitmen dengan mengikut jadual promosi yang sudah diatur.

“Tipu kalau saya tidak gementar apabila digandingkan dengan pelakon yang hebat seperti Remy dan Bront. Lagipun, saya masih ‘hijau’ dalam industri ketika penggambaran filem ini dijalankan tiga tahun lalu.

“Selepas memasuki lokasi penggambaran, bertemu mereka dan bekerja bersama-sama, perasaan gementar itu hilang dengan sendirinya. Ini kerana mereka sangat profesional dan tidak kedekut ilmu. Ia membuatkan saya lebih selesa dan membantu menjayakan watak yang diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 3:31 AM