Mary Victoria Dass


IBU bapa tiga beradik berusia antara dua hingga enam tahun yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 3 Ogos lalu, menafikan mengabaikan anak mereka di bilik sewa di Larkin Perdana, Johor Bahru.

Bapa kanak-kanak itu yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 33, berkata pada hari kejadian dia dan isteri, Siti, 21, mengikuti latihan kerja di sebuah kilang di Gelang Patah.

Menurutnya, mereka terpaksa meninggalkan tiga anaknya, seorang lelaki dan dua perempuan di bawah jagaan jiran yang juga seorang suri rumah.

Katanya, anak bongsu mereka iaitu bayi perempuan berusia lapan bulan ditinggalkan bersama pengasuh di Kampung Melayu Majidee.

“Kami meninggalkan anak kepada jiran yang dianggap sebagai kakak kerana dia dengan rela hati mahu menjaga mereka dan menyatakan ikhlas membantu.

“Kami menjalani latihan selama dua hari iaitu 2 dan 3 Ogos (Rabu dan Khamis) sebelum memulakan kerja sebagai operator kilang elektronik pada 4 Ogos.

“Isteri bekerja syif pagi manakala saya syif malam dan kami bercadang bergilir-gilir menjaga anak," katanya.

Amran berkata, apabila pulang ke bilik sewa pada 3 Ogos lalu, dia terkejut mendapati anak mereka tiada dan dimaklumkan diselamatkan JKM.

“Saya tidak sangka kejadian berlaku seperti ini, hingga tular di Facebook (Fb).

“Tidak benar anak hanya makan kerak nasi dan dicemari najis kerana kerana isteri menyediakan nasi, telur goreng dan lauk kicap.

“Anak sulung kami bijak mengurus diri dan adik-adiknya, termasuk membersihkan mereka jika membuang air dan tidak mungkin ada najis di bilik sewa kami," katanya.

Menurutnya, dia dan isteri membuat laporan di Balai Polis Larkin pada 4 Ogos lalu.

Hari ini, Harian Metro melaporkan dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan enam tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun diselamatkan JKM selepas dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu bapa.

JKM bertindak menyelamatkan kanak-kanak itu selepas menerima aduan daripada jiran tiga beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 9:44 PM