KENANGAN Norrafaeh bersama empat anaknya di depan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran. FOTO Mohd Shukor Amin
KENANGAN Norrafaeh bersama empat anaknya di depan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin


PERSIAPAN raya dan dokumen penting ibu tunggal dan empat anaknya musnah selepas rumah mereka di Kampung Tebok Jawa, Sabak Bernam terbakar pada 9.15 pagi, hari ini.

Norrafeah Siren, 48, berkata ketika kejadian dia bersama tiga anaknya bermalam di rumah kakaknya yang terletak selang beberapa rumah dari kediamannya manakala anak sulungnya bekerja di Melaka.

"Kami bermalam di rumah kakak kerana saya mahu membantunya menyiapkan tempahan berbuka puasa di masjid, hari ini.

"Sedang sibuk membantu itu anak jiran datang memberitahu rumah saya terbakar.

"Saya bergegas pulang namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana api sudah marak dan semua dokumen penting, barang berharga termasuk persiapan raya musnah," katanya.

Walaupun masih terkejut dan sedih namun dia reda dan bersyukur kerana dirinya dan anak-anak selamat.

"Memang kami sangat terkejut dan sedih dengan kejadian tidak disangka ini apatah lagi raya hanya seminggu lagi dan persiapan kami musnah terbakar," katanya yang menumpang sementara di rumah kakak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.23 pagi.

Menurutnya, tujuh anggota serta pegawai bergegas ke lokasi dan ketika sampai, rumah papan itu sudah 90 peratus terbakar.

Menurutnya, tiada mangsa terbabit kerana penghuninya tiada di rumah ketika kejadian dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 6:16 PM