Pengarah Kanan Perniagaan Sektor Perdagangan dan Pengedaran, KPDN, Datuk Rohaizi Bahari (Kanan) ketika ditemu bual dalam program Malaysia Hari Ini.
Pengarah Kanan Perniagaan Sektor Perdagangan dan Pengedaran, KPDN, Datuk Rohaizi Bahari (Kanan) ketika ditemu bual dalam program Malaysia Hari Ini.
Hanis Aliaa Hidzir

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kelmarin menyempurnakan pra pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 di Sri Pentas Bandar Utama, Selangor.

Ia dirasmikan Pengarah Kanan Perniagaan Sektor Perdagangan dan Pengedaran, KPDN, Datuk Rohaizi Bahari.

Rohaizi berkata pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 mengetengahkan beberapa inisiatif strategik yang akan membantu melonjakkan ekonomi domestik, meluaskan pasaran produk tempatan, dan membantu penerimaan rakyat terhadap barangan Malaysia.

Antara inisiatif yang dirancang termasuklah pemerkasaan produk tempatan dalam industri peruncitan dan platform dalam talian, Karnival Barangan Malaysia 2023, Jelajah Mini Karnival
Barangan Malaysia 2023, jualan bertema berdasarkan segmen khusus serta kolaborasi strategik media animasi digital.

Katanya, KPDN turut menjalinkan kerjasama strategik dengan 16 syarikat peruncitan tempatan dan tiga platform dalam talian bagi memastikan produk tempatan terus diperkasa melalui syarikat terbabit.

Selain itu, KPDN juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Animonsta dan Warnakala untuk mempromosikan Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 melalui watak animasi Papa Pipi serta Didi & Friends.

Sementara itu, kerjasama dengan Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) dan Perbadanan Kraftangan Malaysia turut dijalinkan bagi pelaksanaan jualan bertema berdasarkan segmen khusus dalam mengangkat produk Malaysia menerusi fesyen dan kraftangan.

Rohaizi berharap pelaksanaan inisiatif strategik ini akan menjadi pemangkin dalam merancakkan pembelian barangan buatan Malaysia selain mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa.

Beliau secara khusus menyeru dan menyarankan pengguna untuk membuat pilihan tepat dengan membeli serta memilih barangan Malaysia yang sememangnya berkualiti serta setanding dengan produk luar.

Rohaizi turut menjemput rakyat Malaysia untuk memeriahkan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 di beberapa lokasi terpilih termasuk Kuantan, Kota Kinabalu, Alor Setar, Johor Bahru, dan Miri.

Orang ramai juga dijemput menghadiri acara kemuncak Karnival Barangan Malaysia 2023 yang bakal berlangsung di IOI Grand, Putrajaya bagi menyokong produk usahawan tempatan sekali gus membantu memulihkan kembali ekonomi negara.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan laman rasmi Kempen Beli Barangan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 10:59 AM