PERMAINAN papan memberi peluang kepada pemain berinteraksi antara satu sama lain.
PERMAINAN papan memberi peluang kepada pemain berinteraksi antara satu sama lain.
Muhamaad Razis Ismail

JIKA disebut mengenai permainan papan, pasti dalam kalangan pembaca akan terimbau kenangan beberapa permainan yang cukup terkenal pada suatu ketika dahulu termasuk monopoli, saidina dan sahibba.

Sebelum kewujudan teknologi gajet dan penambahan aplikasi permainan secara maya, permainan papan antara aktiviti yang menjadi pilihan untuk mengisi masa lapang.

Malah, ada yang sanggup bersengkang mata sehingga awal pagi semata-mata untuk bermain permainan papan sama ada bersama rakan dan ahli keluarga.

Menariknya, keseronokan bermain permainan papan ini bukan untuk meraih kemenangan semata-mata malah pemain dapat berinteraksi secara visual antara satu sama lain sekali gus dapat mengeratkan hubungan.

Kini, seiring dengan peredaran zaman, permainan papan yang suatu ketika dahulu cukup sinonim dalam kalangan masyarakat di negara ini kian dilupakan.

Kepesatan teknologi, menyebabkan ramai yang beralih arah dan cenderung bermain permainan video sama ada di komputer, konsol dan telefon pintar.

Namun begitu, masih terdapat individu yang bermain permainan papan ini biarpun sudah melangkah masuk ke alam dewasa.

Menggelarkan diri mereka sebagai 'playroom.boardgame,' Zaim Aizat Afdhal dan Zaim Aizat Akmal Bashri, Saiful Imaan Sharonee serta Ahmad Arif Aiman Fauzi yang masing-masing berusia 26 tahun masih menjadikan aktiviti bermain permainan papan untuk mengisi masa lapang terutama pada hujung minggu.

Permainan papan yang dimainkan bukan kategori 'biasa-biasa' dan memiliki pelbagai tema termasuk peperangan, politik, penyiasatan dan ekonomi.

Antaranya permainan papan berkenaan burung dan memerlukan pemain membina roket untuk ke angkasa lepas.

Malah, ada antara permainan papan kategori 'kayangan' yang mencecah ribuan ringgit.

ZAIM Aizat Afdhal (dari kiri), Saiful Imaan Sharonee, Zaim Aizat, Ahmad Arif Aiman berkongsi minat bermain permainan papan.
ZAIM Aizat Afdhal (dari kiri), Saiful Imaan Sharonee, Zaim Aizat, Ahmad Arif Aiman berkongsi minat bermain permainan papan.

Saiful Imaan berkata, seperti individu lain, dia mula bermain permainan papan seperti risiko, monopoli dan saidina sejak daripada kecil apabila diberi pendedahan oleh keluarga.

Katanya, selepas bertemu dengan tiga rakannya di sekolah yang berkongsi minat sama, dia mula bermain permainan papan yang lebih mencabar dengan pelbagai tema.

"Kami sering meluangkan masa bersama-sama mencabar diri bermain pelbagai permainan papan ke peringkat yang lebih sukar berbanding yang sedia ada.

"Kemudian pernah satu ketika saya berhenti bermain selama beberapa tahun kerana masing-masing mempunyai komitmen sendiri dan sukar menemui individu yang mempunyai minat yang sama.

"Hanya pada 2019, kami bertemu semula dan kembali bermain permainan papan bersama-sama sekali gus dapat mengimbau kenangan lalu. Oleh kerana kini masing-masing sudah mempunyai komitmen, biasanya kami akan meluangkan masa (bermain permainan papan) pada hujung minggu saja," katanya.

Bagi Ahmad Arif, keseronokan bermain permainan papan apabila pemain dapat bermain secara visual dan berinteraksi dengan pemain lain.

"Setiap permainan papan mempunyai tema, jalan cerita dan peraturan berbeza yang memerlukan setiap pemain untuk betul-betul memahaminya. Untuk memenangi permainan, ia membabitkan taktik, strategi dan sedikit nasib.

"Pernah satu ketika kami mengambil masa dua hari untuk menyelesaikan permainan papan kerana mempunyai tahap kesukaran yang tinggi.

"Pada masa sama, melalui kepelbagaian tema permainan papan secara tidak langsung kami dapat belajar mengenai sains, sejarah, politik dan ekonomi serta meningkatkan kemahiran insaniah," katanya.

Menurutnya, cabaran untuk bermain permainan papan adalah untuk mencari individu yang mempunyai minat sama.

"Tidak dinafikan perkara ini berlaku berikutan kepesatan perkembangan teknologi selain kurang pendedahan berkenaan permainan papan lain

"Biasanya, untuk pemain yang baru, kami perkenalkan permainan yang ringkas dan mudah difahami secara berperingkat untuk memupuk minat sebelum ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Menyedari perkara itu, Zaim Aizat Afdhal bersama kembarnya, Zaim Aizat Akmal dan dua rakannya mengambil inisiatif berkongsi berkenaan aktiviti bermain permainan papan di media sosial untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Kami berkongsi berkenaan permainan papan yang jarang diketahui masyarakat di negara ini. Alhamdulillah setakat ini maklum balas yang diberikan amat menggalakkan.

"Harapan kami dengan pendedahan ini dapat menarik lebih ramai terbabit untuk membina komuniti permainan papan dan menjadikan aktiviti ini sebagai pilihan untuk meluangkan masa bersama rakan dan ahli keluarga," katannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 7:38 AM