Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
Noor Mohamad Shakil Hameed

TIADA siapa boleh menafikan peranan signifikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengurus dan mengendalikan serangan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehingga ke saat ini, Dr Noor Hisham dan anak buahnya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus bertungkus-lumus untuk memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit yang didapati positif di samping berusaha keras memutuskan rantaian penularan wabak.

Hasil kerja keras mereka akhirnya membolehkan kita mengawal penularan wabak dengan cukup berkesan berbanding negara luar termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat yang masih bergelut dengan serangan wabak ini.

Jelas sekali Dr Noor Hisham tampil tepat pada masanya untuk membuktikan perkhidmatan awam juga tidak ketandusan ketua dan pemimpin yang hebat.

Dalam konteks ini, kita merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan yang pantas mengiktiraf sumbangan dan peranan besar Dr Noor Hisham dengan dua pengiktirafan tertinggi negara yang besar maknanya kepada seluruh penjawat awam.

Pertama, dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kedua, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H.

Bagi penulis, ini bukan saja kejayaan peribadi Dr Noor Hisham, tetapi wajar dilihat sebagai kejayaan dan pengiktirafan yang besar buat perkhidmatan awam dan warga penjawat awam secara keseluruhannya.

Hakikatnya bukan mudah seorang penjawat awam meraih dua pengiktirafan tertinggi negara sekali gus seperti ini.

Justeru, kita perlu mengiktiraf Dr Noor Hisham sebagai ikon penjawat awam yang membanggakan perkhidmatan awam, rakyat dan negara. Perkara ini sangat penting kerana tatakala segelintir penjawat awam cuba merosakkan imej dan nama baik perkhidmatan awam apabila terpalit dengan isu integriti seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, Dr Noor Hisham muncul tepat pada masanya untuk membuktikan masih ramai dalam kalangan penjawat awam berkhidmat dengan penuh dedikasi, amanah, jujur dan ikhlas kepada rakyat dan negara.

Jelas sekali, Dr Noor Hisham memiliki ciri dan kualiti kepemimpinan hebat yang sewajarnya menjadi suri teladan kepada seluruh penjawat awam. Antara ciri kepemimpinan terpuji beliau ialah mampu dan bijak menggembleng semua sumber yang ada seperti sumber manusia (seluruh anggota pasukan perubatan) dan kemudahan serta fasiliti kesihatan secara efisien untuk mengendalikan serangan wabak ini.

Sebagai seorang ketua, Dr Noor Hisham mewujudkan semangat kerjasama yang erat dalam kalangan pasukan perubatan sehingga mampu memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang sehingga ke hari ini.

Satu lagi kualiti kepemimpinan yang dimiliki Dr Noor Hisham ialah sentiasa tenang dan memperlihatkan kematangan dalam menguruskan situasi yang cemas atau ketika krisis. Misalnya kemunculan Dr Noor Hisham dengan raut wajah yang begitu tenang dan sentiasa senyum di kaca televisyen untuk melaporkan situasi semasa dan langkah yang sedang diambil KKM didapati cukup meyakinkan rakyat.

Malah, beliau juga dilihat begitu matang dan profesional ketika menjawab setiap persoalan yang diajukan media. Ini juga menunjukkan Dr Noor Hisham memiliki kemahiran komunikasi yang sangat baik.

Dr Noor Hisham juga dilihat sangat bijak dalam membuat keputusan di samping berani mengambil risiko. Misalnya, kita percaya keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac yang lalu banyak dibantu nasihat profesional dari Dr Noor Hisham yang berjaya membuat keputusan tepat dalam menilai tahap 'keseriusan' serangan wabak ini pada ketika itu.

Hasilnya, hari ini, kita berjaya mengawal penularan virus ini.

Satu lagi kualiti kepemimpinan Dr Noor Hisham ialah memiliki nilai integriti yang sangat tinggi. Perkara ini dapat dinilai melalui keikhlasan dan kejujuran beliau dalam membentangkan kepada rakyat segala data dan fakta berkaitan situasi semasa wabak. Jelas sekali, beliau tidak menyembunyikan apa-apa dari pengetahuan rakyat. Ini membolehkan rakyat sedar 'keseriusan' ancaman wabak ini sekali gus membantu mencegah penularan virus.

Sebagai pemimpin, kita perlu menzahirkan komitmen tinggi bila diberikan suatu amanah dan tanggungjawab. Jelas sekali, keputusan kerajaan meletakkan tanggungjawab besar di bahu Dr Noor Hisham adalah satu keputusan yang sangat tepat kerana tiada siapa boleh mempersoalkan mahupun meragui kualiti komitmen beliau dalam menguruskan krisis ini. Buktinya, setiap hari baik siang mahupun malam beliau bersama-sama dengan pasukan perubatan bekerja keras untuk menangani penularan wabak ini.

Di samping itu, Dr Noor Hisham juga membuktikan seseorang pemimpin itu perlu bertindak pantas serta sentiasa proaktif memikirkan jalan penyelesaian untuk sebarang masalah yang muncul.

Malah, sikap positif Dr Noor Hisham ketika meyakinkan rakyat bahawa krisis ini sedang dikendalikan dengan baik dan semuanya berada dalam kawalan juga mencerminkan satu lagi kualiti kepimpinan yang terpuji.

Justeru, semua ketua jabatan wajar menjadikan Dr Noor Hisham sebagai suri teladan dalam memimpin jabatan masing-masing ke arah menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara. Kepada penjawat awam, jadikanlah Dr Noor Hisham sebagai ikon.

Hakikatnya, kecemerlangan sesebuah organisasi itu banyak bergantung kepada kualiti kepemimpinan yang dimiliki ketua yang perlu bertindak sebagai pemimpin yang mampu menggembleng sumber yang ada untuk mencapai kejayaan. Semoga Dr Noor Hisham akan menjadi sumber inspirasi yang dapat melahirkan lebih ramai lagi ikon yang hebat dalam kalangan penjawat awam.

Penulis pentadbir di universiti awam dan penganalisis isu semasa

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 5:59 AM