ALIFF Aziz keluar dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan selepas selesai melafazkan talak. FOTO Saifullizan Tamadi
ALIFF Aziz keluar dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan selepas selesai melafazkan talak. FOTO Saifullizan Tamadi
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Aliff Aziz bersetuju menyerahkan hak penjagaan penuh dua anaknya kepada bekas isteri, Bella Astillah kerana menganggap wanita itu adalah individu paling layak.

Aliff, 33, berkata, keputusan yang dibuat adalah muktamad dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

"Sebab dia adalah ibu kandung. Saya enggan mengulas perkara itu secara terperinci tetapi apa yang dibincangkan dalam mahkamah ini, itulah keputusannya," katanya.

Menurut Alif, dia bagaimanapun enggan menjawab soalan media ketika ditanya mengenai bila kali terakhir dia berjumpa dengan dua anaknya, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

"Berkenaan anak-anak, saya tak nak komen apa-apa kerana bagi saya ada perkara boleh dikongsikan dan ada yang tak perlu buat masa ini.

"Apa pun saya bersyukur apabila prosiding hari ini semuanya berjalan lancar dan saya berterima kasih kepada ayah kerana menemani saya," katanya yang ditemui Harian Metro sejurus selesai kes perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam masa sama, Aliff juga belum bersedia untuk berkongsi mengenai hubungannya dengan Bella.

"Ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai hubungan saya dengan Bella tetapi mohon semua beri ruang dan masa.

"Alhamdulillah saya masih jalani fasa untuk berehat kerana ini sangat memenatkan untuk semua orang.

"Berkenaan rezeki, untuk saya ada satu keyakinan yang rezeki daripada Allah. Saya kini lebih kepada muhasabah diri. Semoga yang baik akan berlaku pada semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 2:39 PM