Zarina Zainuddin
Zarina Zainuddin
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon senior, Zarina Zainuddin, 53, menyifatkan perpisahan pasangan selebriti popular, Bella Astillah dan Aliff Aziz hanya bersifat sementara.

Zarina berkata, jika bercerai sekalipun, tidak mustahil mereka akan rujuk semula kerana mempunyai anak.

"Orang yang 10 tahun kahwin bercerai pun selepas itu ada yang rujuk balik sebab keserasian antara mereka kuat. Jadi, kita tak boleh kata dia bercerai lepas itu jadi sebaliknya.

"Mungkin bercerai itu untuk mereka mengenali diri sendiri. Misalnya, Bella fikir Aliff tak perlu ada dalam hidup dia dan begitu juga sebaliknya. Masa itu masing-masing baru tahu kekurangan yang ada dan muhasabah diri.

"Mungkin dengan cara berpisah sekejap akan membuatkan salah seorang mereka saling merindu serta saling memerlukan," katanya kepada Harian Metro.

Zarina berkata, apabila berlaku perceraian sudah pasti anak-anak akan menjadi mangsa dan perkara ini amat menyedihkan.

"Siapa nak duduk dengan mak atau bapa tiri? Tak sama kasih sayang mereka seperti ibu bapa sendiri. Saya doakan semoga Bella dan Aliff bersatu semula. Insya-Allah satu hari nanti kerana mereka masih muda.

"Bella kalau sayangkan Aliff, sayangkan anak-anak, dia kena buat pengorbanan. Memang kadang-kadang banyak yang menghasut supaya bercerai, buat apa hidup dengan lelaki sebegitu.

"Sebenarnya Bella sendiri yang tahu Aliff macam mana. Kenapa dulu dia boleh terima Aliff. Sekarang Bella nekad bercerai, bagilah dia cerai dulu. Nanti kemudian Bella kena fikir mana yang terbaik untuknya," katanya.

Zarina berkata, dia tidak suka orang yang bercerai dan apabila terjadi masalah mudah untuk memilih jalan perceraian.

"Tak dapat apa pun bercerai. Kalau kita boleh bertahan, pertahankan rumah tangga kita, pertahankan maruah suami kita. Kita tak tahu betulkah dia buat benda tak elok. Jadi tak boleh nak nilai macam-macam. itu adalah antara dia (Aliff) dan Allah saja.

"Kita tak berada di situasi mereka. Memanglah mereka kena tangkap berduaan. Tapi kita tak tahu, tak nampak apa yang mereka buat dalam rumah itu.

"Betulkah mereka buat sesuatu? Atau sedang berbincang, berbual sambil tengok TV, itu kita tak tahu. Ia berlaku sebab mereka kawan rapat dan 'shooting' sebagai hero dan heroin. Tapi tak tahulah kalau mereka 'terbercinta' kerana itu di luar kotak fikiran kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 12:34 PM