ANTARA babak menarik lakonan Alif dan Sophia dalam filem Reeza.
ANTARA babak menarik lakonan Alif dan Sophia dalam filem Reeza.
Ramlah Zainal

MENGGABUNGKAN tiga genre iaitu romantik, komedi dan aksi, filem Reeza arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, memiliki tarikan tersendiri kerana menampilkan gandingan dua pelakon popular, Alif Satar dan Sophia Albarakbah buat pertama kalinya di layar perak.

Menurut Ahmad Idham, filem itu juga menampilkan sisi berbeza Sophia yang lebih dikenali dengan watak penggoda dalam lakonan sebelum ini.

"Bila buat filem, kita kena cari gandingan yang tepat dan sesuai untuk menarik penonton ke pawagam.

Ia kali kedua saya bekerjasama dengan Sophia selepas filem genre komedi seram, Saka Perawan. Saya nampak dia mampu pergi lebih jauh sebagai primadona filem Melayu selepas ini.

"Selepas saya naikkan pelakon seperti Lisa Surihani, Nora Danish dan Yana Samsudin, saya nampak barisan pelakon seperti Sophia, Nelissa Nizam dan Daiyan Trisha pula akan menjadi pelakon pelapis dalam industri seni selepas ini," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Reeza di Seri Kembangan di sini, baru-baru ini.

Mengenai kerjasama dengan Sophia lagi, kata Ahmad Idham, dia tiada masalah bekerja dengannya kerana pelakon itu juga profesional ketika di lokasi penggambaran.

"Setakat ini, saya tak nampak pun dia 'sondol' pelakon lelaki di lokasi. Karakter dia memang lemah-lembut dan mesra dengan semua orang. Janganlah ada pelakon salah faham dengan kemesraannya itu.

"Sophia juga mencabar dirinya dengan buat babak aksi termasuk lompat atas lori yang bergerak tanpa bantuan pelakon lagak ngeri," katanya.

Ditanya pemilihan Alif pula, kata Ahmad Idham, pelakon berbakat besar itu dilihat mampu menjadi pelapis dalam bidang perfileman.

"Saya perlu gandingkan Sophia dengan hero yang lebih matang seperti Alif. Saya pernah berlakon dengan Alif dalam drama dan saya melihat 'sengal' yang dimilikinya mampu membawanya pergi lebih jauh dalam bidang perfileman.

"Alif juga ada misi untuk berlakon dalam filem Reeza. Kita nak hero yang sengal tapi 'handsome' (kacak). Kita nak buat filem ini berjaya seperti Adnan Sempit dan Mael lambong.

"Siapa Shaheizy Sam sebelum filem Adnan Sempit dan siapa Zizan Razak sebelum filem Mael Lambong dan Hantu Bonceng? Era mereka dah habis dan kita perlukan pelakon yang boleh menjadi pelapis dalam industri perfileman tempatan," katanya.

Berkongsi cabaran dihadapi pula, kata Ahmad Idham, dia perlu memastikan Alif dan Sophia memiliki 'chemistry' (keserasian) kerana ia gandingan pertama mereka dalam filem.

"Walaupun kali pertama berganding dengan Sophia, Alif berusaha untuk mendapatkan 'chemistry' dengannya.

"Alif juga berjaya buat babak romantik dengan Sophia tanpa pegang-pegang atau bersentuhan. Formula yang saya pakai untuk filem Reeza ialah penonton akan tersenyum, menangis dan bergelak ketawa nanti," katanya.

Mengulas babak bersentuhan lagi, Ahmad Idham, dia perlu menyesuaikan diri dengan era media sosial sekarang.

"Kalau dulu, jika tiada bersentuhan penonton cakap tiada rasa pula. Tapi semuanya dah berubah pada era sekarang. Pengarah perlu cukup kreatif untuk buat babak romantik dengan menggunakan elemen persekitaran seperti pantai dan ombak," katanya.

Sementara itu, dari segi bajet filem Reeza, Ahmad Idham berkata, filem terbitan Grand Brilliance Studio Sdn Bhd itu membabitkan kos mencecah RM1.8 juta.

"Filem ini memulakan penggambaran pada 7 Februari dan berakhir hujung bulan lalu di lokasi sekitar Lembah Klang, Melaka, Pahang dan Selangor.

"Ia dijangka ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada Oktober atau November tahun ini," katanya.

Filem Reeza memapa

kan watak Reeza lakonan Alif yang berubah 360 darjah selepas menyelamatkan Myra (lakonan Sophia) yang ditemuinya dalam but kereta. Sejak itu, dia dan Myra menjadi buruan lelaki misteri.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Nelissa Nizam, Noki K-Clique, Niezam Zaidi, Datuk Seri Eizlan Yusoff, Ropie, Cat Farish, Yassin Senario, Man Raja Lawak dan Mas Anizan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 6:00 AM