PEMPENGARUH buta selepas terbabit nahas sentiasa berdoa agar dapat kembali melihat.
PEMPENGARUH buta selepas terbabit nahas sentiasa berdoa agar dapat kembali melihat.
Najiy Jefri


Peluang mengerjakan ibadah umrah pada November tahun lalu membuatkan pempengaruh dan usahawan Masitah Mohd Affandy yang dahulunya normal namun buta kedua matanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac tahun lalu sentiasa berdoa agar diberikan rezeki untuk melihat kembali secara normal.

Kata Masitah, meskipun menyedari kebarangkalian untuk melihat agak sukar, tapi dia tidak pernah berputus asa.

"Ketika mengerjakan ibadah umrah bersama suami pada November tahun lalu saya selalu berdoa supaya Allah beri rezeki untuk saya lihat kembali.

"Namun jika tiada rezeki itu saya minta Allah permudahkan seluruh kehidupan saya," katanya.

Enggan menjadikan kekurangan yang dimiliki itu sebagai penghalang untuk dirinya berjaya dalam hidup, Masitah memberitahu, dia sudah mengikuti beberapa kelas untuk mempelajari cara orang buta penglihatan menggunakan teknologi di telefon bimbit dan komputer riba.

"Sebenarnya sejak bulan Mei tahun lalu saya sudah mengikuti kursus asas Braille dan Alhamdulillah saya dipertemukan dengan seorang guru yang juga buta penglihatan.

"Jadi selepas mengikuti tahap pertama kursus Braille ini, dia nasihatkan saya untuk mengikuti kursus khas dalam bidang gajet memandangkan saya seorang ahli perniagaan dan banyak menggunakan gajet.

MASITAH diumumkan sebagai Top 5 Pencipta Kandungan Digital Motivator Tergempak bagi penganjuran anugerah Gempak Most Wanted 2023.
MASITAH diumumkan sebagai Top 5 Pencipta Kandungan Digital Motivator Tergempak bagi penganjuran anugerah Gempak Most Wanted 2023.

"Sekarang ini saya cuba mahirkan diri menggunakan aplikasi yang dikhaskan untuk orang buta. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu saya dalam perniagaan dan urusan lain," katanya.

Dalam pada itu, Masitah meluahkan rasa teruja apabila namanya diumumkan sebagai Top 5 Pencipta Kandungan Digital Motivator Tergempak bagi penganjuran anugerah Gempak Most Wanted 2023.

"Pertama sekali saya tidak sangka apabila nama saya diumumkan sebagai Top 5 bagi kategori Pencipta Kandungan Digital Tergempak. Ini adalah hadiah yang cukup bermakna.

"Saya bersyukur di sebalik ujian yang berlaku, saya percaya Allah itu sentiasa dekat dengan hamba-Nya dan Allah akan pujuk kita dengan hadiah yang kita sendiri tak sangka.

"Jadi kepada anda yang mungkin menerima nasib sama seperti saya atau lebih berat lagi, saya harap anda sentiasa bersangka baik kepada Allah dan percayalah dia akan tolong kita," katanya.

Ditanya adakah dia mengharapkan kemenangan pada kategori yang dicalonkan, Masitah berkata, sudah tentu dia menyimpan keinginan untuk memenangi kategori itu.

"Sudah tentu saya nak menang tapi saya sendiri sedar calon-calon lain semuanya hebat dan memiliki latar belakang yang cukup luar biasa.

"Malah kandungan empat calon lain juga sangat bermanfaat. Jadi apapun saya hanya nak bergembira dan bersyukur dengan rezeki yang saya terima ini," katanya.

Selain Masitah, empat calon lain bagi kategori itu ialah Aminahtul Mardiah, Dr Say Shazril, Dr Syed Aliff Fauzan dan Muhammad Noor.

Majlis penganugerahan itu bakal menyaksikan kehadiran Amelia Henderson, Sean Lee, Zizan Razak dan Sherry Alhadad sebagai pengacara pada acara gilang-gemilang yang bakal berlangsung pada 25 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 6:18 PM