Fazley pada program santai di Restoran Suka Sucre By Fazley Yaakob, Hotel Maya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Fazley pada program santai di Restoran Suka Sucre By Fazley Yaakob, Hotel Maya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi dan Chef Selebriti Datuk Fazley Yaakob tiada masalah teruskan kerjasama dengan sebuah jenama kopi antarabangsa yang diboikot dan dipersoalkan kerana terkait pergolakan di Palestin.

Fazley, 45, berkata dia sendiri sudah membuat kajian terperinci mengenai setiap jenama disertainya sebagai duta termasuk jenama yang didakwa sensitif.

"Saya tahu jenama kopi terbabit milik rakyat Malaysia. Mereka juga ada membuat sumbangan RM1 juta kepada Palestin. Mereka juga memiliki pekerja-pekerja tempatan.

"Saya tiada masalah kerana mereka juga tidak di dokong syarikat berasaskan dari luar negara. Asalkan syarikat itu bertempat di Malaysia dan tahu hala tuju mereka, saya masih tetap menjalankan tugas sebagai chef.

"Juga sebagai wajah (jenama) untuk memastikan bahawa pekerja-pekerja, orang yang membeli yakin dengan produk ada," katanya sewaktu ditemui di Restoran Suka Sucre, di sini semalam.

Fazley yang bertindak sebagai chef membekal juadah menu tempatan untuk rangkaian kopi terbabit bersyukur tidak terkesan dengan kontroversi itu sehingga perlu undur diri.

"Setakat ini secara peribadi saya tidak terkesan. Saya menanti juga jika ada hentaman-hentaman dalam Instagram. Tapi alhamdulillah, pengikut saya pun tahu latar belakang saya.

"Mereka pun membuat kajian terperinci untuk menilai sama ada hentam, sokong, boikot, ataupun tidak.

"Proses mengundur diri perlu mengikut kontrak. Kalau saya diikat dengan kontrak dan selagi tidak ada bukti, fakta, kenyataan daripada pihak syarikat bahawa mereka menyokong pihak-pihak tidak sepatutnya, saya rasa tiada masalah untuk bekerjasama," katanya.

Fazley juga percaya ramai tidak tahu tugas dan pengalamannya sebagai juruaudit memerlukan dia audit jenama-jenama tertentu sebelum bekerjasama.

"Apabila saya jadi duta jenama-jenama yang kononnya sensitif dan orang persoalkan, saya sudah buat kajian. Sudah tentu nombor satu, kebolehan mereka mentadbir keadaan politik semasa.

"Kedua, adakah banyak pekerja tempatan berkhidmat? Ketiga, adakah mereka menyokong sebulan suara atau sekadar lontarkan sokongan dalam konteks netizen.

"Apabila bekerjasama dengan produk-produk antarabangsa dan tempatan, yang penting adalah memastikan kelangsungan bisnes tempatan. Bermakna kalau syarikat terbabit milik tempatan 100 peratus dan pekerjanya rata-rata rakyat Malaysia, saya tiada masalah," katanya.

Pada tahun lalu, Fazley mengikat kerjasama dengan Starbucks Malaysia untuk memperkenalkan menu baharu dipilih merangkumi elemen klasik digemari ramai dan 'street food' kegemaran yang terkenal.

Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd dimiliki syarikat tempatan iaitu Berjaya Food Berhad.

Baru-baru ini, syarikat itu menyumbang RM1 juta untuk kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 12:43 PM