Pelakon, Imran Aqil dan isteri, Dahlia ketika pelancaran Wawa Glow In Tint di Klassy Glass, Puchong. FOTO AZIAH AZMEE
Pelakon, Imran Aqil dan isteri, Dahlia ketika pelancaran Wawa Glow In Tint di Klassy Glass, Puchong. FOTO AZIAH AZMEE
Najiy Jefri

 

Puchong: Demi menjaga hati isteri tercinta, pelakon Imran Aqil mengambil keputusan untuk tidak melakukan babak berpegangan tangan atau bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita. 

Imran berkata, syarat terbabit bukan ditetapkan isterinya yang juga pempengaruh media sosial terkenal iaitu, Dahlia Rizal, sebaliknya keputusan itu dibuat kerana statusnya kini yang sudah bergelar suami.

"Saya memilih untuk tidak lagi buat babak bersentuhan, pegang tangan atau mesra melampau dengan pelakon wanita. 

"Jika ada tawaran yang menuntut saya melakukan sebegitu saya terpaksa menolaknya walaupun untuk watak utama.

"Saya sanggup memegang watak pembantu, asalkan tidak mencalarkan perasaan isteri. Ini adalah keputusan saya sendiri iaitu elak adegan mesra selepas berkahwin.

"Apa yang paling penting sekarang ini adalah perasaan isteri dan ibu saya walaupun mereka tak pernah letakkan syarat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Wawa Tinted Sunscreen di Puchong, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Imran meluahkan rasa syukur apabila dia dan isteri dihujani pelbagai tawaran termasuk ada syarikat yang ingin melantik mereka sebagai duta.

"Alhamdulilah, rezeki selepas membina masjid.  Kami bersyukur apabila Dahlia raih kepercayaan syarikat macam Wawa Cosmetics selain sudah mula melangkah ke dunia lakonan.

"Sebagai suami saya sentiasa beri galakan kerana tahu dia berbakat, selain boleh pergi jauh sebagai pelakon mahu pun pengacara asalkan dia pandai bawa diri.

"Saya tidak menyekat kerjaya atau mengongkong isteri kerana kami saling memahami, malah jika ada tawaran untuk tampil berdua apa salahnya kita realisasikan,"katanya.

Untuk rekod, Imran bernikah dengan Dahlia yang berusia 22 tahun pada 9 September lalu selepas setahun mengikat pertunangan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 9:13 AM