BARISAN 10 bekas juara GV yang bakal berentap dalam All Stars GV pada sidang media yang berlangsung di Pavillion, Jalan Bukit Bintang. - FOTO Hazreen Mohamad
BARISAN 10 bekas juara GV yang bakal berentap dalam All Stars GV pada sidang media yang berlangsung di Pavillion, Jalan Bukit Bintang. - FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


Juara program realiti popular, Gegar Vaganza (GV) musim kedua, Siti Nordiana bersetuju untuk menjayakan All Stars GV kerana mahu memberi penghargaan kepada produksi GV yang sudah memberi peluang padanya ketika musim kedua.

"Jika tidak ada GV, jalan untuk kembali aktif dalam industri seni menjadi sukar kerana ia memberi impak sangat besar dalam kerjaya seni.

"Memang saya risau kerana GV adalah satu pertandingan dan saya mahu mencabar diri serta sudah bersedia dengan segala kemungkinan atas pentas," katanya pada sidang media All Stars GV yang berlangsung di Pavillion, Jalan Bukit Bintang di sini, baru-baru ini.

GV kembali lagi untuk musim ke-10 dengan menyaksikan 10 juara setiap musim kembali berentap untuk merebut gelaran juara All Stars GV.

Selain Siti Nordiana atau Nana, turut bertanding ialah juara musim pertama, Ayai Ilusi, Azharina (musim ketiga), Datuk Aishah (musim keempat), Noryn Aziz (musim kelima), Naqiu dan Hadi Mirza (musim keenam), Cliff Umar (musim ketujuh), Aliff Aziz (musim kelapan) dan Jaclyn Victor (musim kesembilan).

Siti Nordiana ketika ditanya mengenai 'vokal chord' (pita suara) berkata, dia masih dalam proses penyembuhan sejak berdepan masalah itu tahun lalu.

"Selepas positif Covid-19 lima kali, ia turut memberi kesan sangat besar terutama kepada pernafasan, paru-paru dan pita suara. Saya juga tidak dapat bagi 'all out' dalam nyanyian kerana masalah itu. Apa yang saya boleh buat adalah sentiasa memperbaiki diri, persembahan serta baik pulih stamina," katanya.

Siti Nordiana berkata, dia juga menjalani rawatan secara intensif dengan pakar sejak Jun lalu.

"Saya tidak perlu menjalani sebarang pembedahan, tetapi perlu pantau pita suara selama tiga bulan," katanya.

Sementara itu, juara GV musim lalu, Jaclyn Victor juga tidak mampu menolak untuk kembali menyertai GV untuk tahun kedua berturut-turut.

"GV adalah sesuatu yang sangat besar buat saya. Mula-mula dulu saya tak nak masuk, tetapi sekarang saya sudah tahu apa sebenarnya GV dan sukar untuk menolaknya.

"GV seperti sebuah 'universiti' buat kami sebagai penyanyi. Walaupun kita sudah menyanyi ratusan tahun sekali pun tetap akan ada benda baharu yang kita akan pelajari," katanya.

Dalam pada itu, Ayai, 61, menerima tawaran untuk kembali berentap di pentas GV kerana ingin membuktikan dirinya masih wujud dalam industri muzik tanah air.

"Saya sertai musim kali ini kerana ingin meneruskan perjuangan seni sejak 1977. Terima kasih pada Astro kerana peluang diberikan serta kepada peminat yang masih menyokong kerjaya seni sampai hari ini," katanya yang sudah pulih dari komplikasi penyakit usus dan buah pinggang sejak setahun lalu.

Juri tetap All Stars GV dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat berkata, 10 peserta musim baharu ini termasuk lima yang bakal dipilih dari undian 'Hot Seat' mempunyai kepakaran dan kehebatan masing-masing yang bakal memberi saingan padu.

"Semestinya kami mahu peserta beri yang terbaik. Kali ini kita kena tengok bukan sahaja aspek nyanyian, tetapi penampilan, persembahan dan tekniknya.

"Saya percaya musim baharu ini memberi persaingan yang cukup sengit dan kami barisan juri juga saya bakal berseronok," katanya.

JACLYN, Siti Nordiana dan Ayai teruskan perjuangan. - FOTO Hazreen Mohamad
JACLYN, Siti Nordiana dan Ayai teruskan perjuangan. - FOTO Hazreen Mohamad

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, perancangan untuk menerbitkan All Stars Gegar Vaganza sudah lama dirancang pihak produksi.

"Saya percaya musim ke-10 ini akan menjadi yang luar biasa. Saya sendiri agak gementar melihat barisan peserta musim baharu ini.

"Bukan mudah nak ajak barisan bekas juara kembali bertanding. Pujukan demi pujukan sudah bermula sejak setahun lalu. Saya berharap semoga ini bukan musim GV yang terakhir.

"Sebenarnya, pada tahun ini, kami juga menerima permintaan daripada ramai penyanyi yang ingin menyertai GV. Tetapi, akhirnya kami buat keputusan untuk menerbitkan edisi All Stars GV,"katanya.

Mengenai kelainan pula, kata Raqim, penganjuran All Stars GV juga bakal memberi peluang kepada peminat untuk memilih lima lagi peserta 'Hot Seat' untuk melengkapkan lagi persaingan musim baharu ini.

"Lima lagi peserta yang bakal bertanding adalah berdasarkan senarai peserta Top 4, sembilan musim terdahulu dan undian bermula 29 Ogos lalu hingga esok," katanya.

Antara nama yang diramalkan bakal mara sebagai peserta 'Hot Seat' ialah Liza Hanim, Shila Amzah, Tomok dan Bob Yusof.

Nama lain yang turut tersenarai ialah Zamani Slam, Ameng Spring, Noraniza Idris, Nikki Palikat, Suki Low, Rahmat Mega, Farahdiya, Amelina, Jatt Ali, Nur Fatima, Haleeda, Mamat Exist, Ezad Lazim, Lan Solo, Hazami, Dia Fadila, Muss dan Ayu Damit.

GV10 masih mengekalkan formal asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus barisan juri profesional.

Selain Syafinaz, barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.

Juara All Stars GV bakal membawa pulang wang tunai yang lebih lumayan berbanding tahun lalu iaitu wang tunai bernilai RM200,000 dengan hadiah sampingan lain.

Hos program All Stars GV pula bakal diumumkan secara rasmi pada konsert pertama GV10 nanti.

Konsert mingguan GV10 mula bersiaran secara langsung dari Dewan Auditorium MBSA Shah Alam selama 12 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam bermula 24 September depan dan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria.

Konsert akhir GV tahun ini akan berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 6:49 AM