ZUBAIDAH (berdiri depan tengah) bersama tenaga kerja Sulur Nakasari 2.0.
ZUBAIDAH (berdiri depan tengah) bersama tenaga kerja Sulur Nakasari 2.0.
Ridzuan Abdul Rahman


PENGANJURAN gerak tari Sulur Nakasari membabitkan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artis Tari Istana Budaya pada Julai tahun lalu mendapat sambutan hebat daripada masyarakat.

Untuk itu, Istana Budaya kembali menganjurkan persembahan gerak tari Sulur Nakasari yang kini dialunkan bersama muzik OTM di Panggung Sari, jam 8.30 malam Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata, Sulur Nakasari secara umumnya mempamerkan hasil kreativiti dan idea daripada barisan koreografer dan komposer Istana Budaya dalam melahirkan karya reka cipta tari dan muzik yang baharu.

"Persembahan ini utamanya dijayakan dua gabungan produk dari Istana Budaya iaitu Artis Budaya residen yang dikenali sebagai Artistana dan OTM.

"Pementasan Sulur Nakasari 2.0 kali ini bakal menampilkan tiga segmen dalam keseluruhan persembahan iaitu segmen Kreasi Tradisional, Kreatif Tradisional dan Kreatif Kontemporari.

"Sulur Nakasari 2.0 akan mempamerkan 12 jenis tarian antaranya tarian asli, inang, joget, zapin siltah, jeraus dan bakarano yang disusun sembilan koreografer Istana Budaya berbanding 10 jenis tarian yang dipersembahkan pada Sulur Nakasari lalu," katanya.

Zubaidah berkata, sebagai kelainan dan tarikan, Istana Budaya juga memilih menampilkan dua penyanyi iaitu Bob Yusof dan Hazra Dollah bagi menyemarakkan lagi persembahan etnik kreatif dan tradisional Malaysia ini.

OTM pula berperanan menghasilkan identiti kesenian muzik tradisional yang unik dengan membabitkan pelbagai jenis instrumen dari berbilang kaum dan etnik di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Konduktor dan Pengarah Muzik OTM, Yazid Zakaria berkata, Sulur Nakasari 2.0 lebih unik kerana menampilkan lima lagu gubahan baharu berbanding tahun lalu.

"Ia berjaya dihasilkan dan menjadikan 18 lagu secara keseluruhan dengan membabitkan sembilan komposer dari OTM sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Bob berkata, dia bersyukur dipilih terbabit bersama Hazra dalam persembahan ini.

"Saya dan Hazra menerusi sebuah lagu dan kami masing-masing akan menyampaikan lagu solo. Syukur saya pun dah biasa bekerjasama dengan OTM.

"Saya tidak asing dengan Istana Budaya kerana sering diundang beraksi dengan OTM dan OSK. Alhamdulillah apabila diberikan tugasan saya akan buat yang terbaik. Untuk Sulur Nakasari kami diberikan lagu baharu dan bukan yang sedia ada," katanya.

Persembahan Sulur Nakasari 2.0 diketuai A Aris A Kadir sebagai pengarah persembahan dan Badrul Zaman Abdul Jalil sebagai sinografer serta Rudy De Luna Jr sebagai pengarah tari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 6:45 AM