Pang Chinn Fei bersama Yang di-Pertuan Agong.
Pang Chinn Fei bersama Yang di-Pertuan Agong.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Personaliti TV3, Pang Chinn Fei, 46, meluahkan kesyukuran apabila dikurniakan Bintang Kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) sempena Hari Keputeraan Rasmi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Chinn Fei yang juga Editor, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, TV3 dia sepatutnya menerima bintang kebesaran AMN itu pada 2020.

"Secara peribadi, saya berasa gembira dan terharu dengan pengiktirafan dari Seri Paduka itu. Ia adalah pengiktirafan tertinggi yang diterima dalam karier setakat ini.

"Sebenarnya, bintang kebesaran AMN itu dikurniakan kepada saya pada 2020 tetapi disebabkan pandemik Covid-19, istiadat pengurniaan itu dilewatkan tiga tahun kemudian," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas bintang kebesaran AMN  itu lagi, kata Chinn Fei, ramai pihak yang menganggap dia menerima pengiktirafan itu kerana sumbangannya sebagai Penyampai Berita sedangkan ia sebenarnya dalam acara lain.

"Bintang kebesaran AMN itu dikurniakan kepada saya kerana sumbangan sebagai pengacara majlis sempena sambutan Hari Kebangsaan selama tujuh kali sejak 2011.

"Selain saya, penerima bintang kebesaran AMN yang sama ialah Pengacara RTM, Terence Joseph Dass," katanya.

Terdahulu, Chinn Fei antara lebih 300 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara, di sini, semalam.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat berkenaan.

Untuk rekod, Chinn Fei yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai stesen TV3 sebagai wartawan penyiaran sejak 2000.

Dia mula menjadi penyampai berita di TV3 sejak 2005 hingga 2023. Selain itu, Chinn Fei juga Ketua Unit Aduan Rakyat di TV3 sejak 2018.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 12:51 PM