BARISAN pelakon serta krew filem Jemputan Ke Neraka. - FOTO Rohanis Shukri
BARISAN pelakon serta krew filem Jemputan Ke Neraka. - FOTO Rohanis Shukri
Nurul Sabrina Jamali


GENRE psiko thriller menjadi pilihan Amor Rizan dalam filem sulung arahannya berjudul Jemputan Ke Neraka yang mula ditayangkan semalam.

Amor berkata, dia sudah menyimpan dan menulis skrip filem ini sedekad lalu yang mengupas satu sisi kisah bermula daripada tiga pasangan menerima undangan ke majlis perkahwinan rakannya.

"Fokus filem ini sebenarnya bukan untuk menunjukkan kekejaman dan seram, tetapi mengenai sedalam mana sebuah keluarga menyayangi antara satu sama lain apabila ditimpa kemalangan," katanya mengenai filem lakonan Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreezz Adam, Haris Hamdan, Wafariena Roslan, Alif Hadi, Nik Syaf, Jasper Supayah dan Aleza Shadan ini.

Menurut Amor, segala yang berkait dengan masa adalah cabaran utama dalam menjayakan filem ini kerana dia perlu bijak mengatur masa supaya tidak lebih dari jangkaan yang dirancang.

"Saya cuba mengejar masa sebaik mungkin supaya tidak terlangkau. Alhamdulillah, semua artis dan pasukan produksi memberikan kerjasama yang penuh sehingga terhasilnya filem ini.

"Apabila kita tidak boleh lakukan babak yang sudah dirancang pada hari penggambaran, kita perlu fikirkan dan merancang pelan yang baru pada hari kejadian juga," katanya.

Amor berkata, dia lebih gemar berpegang kepada konsep menyelesaikan masalah dengan tenang berbanding mencetuskan kemarahan di set penggambaran.

"Semua orang memainkan peranan masing-masing ketika penggambaran tidak kiralah siapa mereka, tetapi jika ada masalah yang datang, kami cuba menyelesaikannya dengan berbincang dan bergerak ke 'plan b'," katanya.

Ditanya mengenai persiapan sebelum menjayakan filem ini, Amor berkata, dia perlu bersedia apabila masalah berlaku dengan membuat perancangan yang lebih teratur.

"Bagi saya, jangan menganggap masalah yang berlaku itu sebagai halangan, tetapi jadikan ia sebuah cabaran yang pastinya ada jalan penyelesaiannya walau sebesar mana pun masalah itu," katanya.

Amor juga bersetuju bekerja dengan pelakon baharu adalah pengalaman yang terbaik baginya dalam menjadi seorang pengarah filem dan drama.

"Saya sangat bersyukur dapat bekerja dengan barisan pelakon baharu kerana mereka mempunyai disiplin yang tinggi dan sanggup memberi kerjasama yang penuh.

"Sebenarnya, saya memang memilih dalam mencari pelakon yang boleh berlakon dalam filem arahan saya seperti tidak mudah 'melatah' dan mendengar arahan dengan baik. Ini kerana saya sendiri tidak suka marah-marah ketika di set penggambaran.

"Semua pelakon juga mahukan ketenangan ketika bekerja walaupun kami 'shoot' filem psiko yang membabitkan pembunuhan kejam, semestinya kami inginkan suasana penggambaran yang 'fun' (seronok)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 6:49 AM