Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Memegang watak sebagai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah dalam filem Anwar: The Untold Story, pelakon Indonesia, Acha Septriasa mengakui bahawa berdialog dalam Bahasa Melayu mencabar dirinya sebagai pelakon.

Acha ketika dihubungi menerusi panggilan video di sidang media pelancaran filem itu berkata, dia banyak dibantu oleh rakan gandingannya, Farid Kamil.

"Saya akui, agak susah dan mencabar untuk saya melontarkan dialog dalam Bahasa Melayu. Namun, saya bertuah kerana sahabat saya yang juga gandingan dalam filem ini, Farid, banyak membantu.

"Selain membantu dari sudut bahasa, dia banyak membantu saya untuk mendalami watak sebagai Wan Azizah, yang juga tokoh yang sangat dikenali," katanya.

Acha yang kini menetap di Australia juga berkongsi mengenai aura dan sikap keibuan yang ada dalam diri Wan Azizah.

"Ia adalah satu penghormatan untuk saya kerana namanya cukup disegani, di samping membawa aura yang sangat kuat.

"Dia juga ada aura keibuan dan saya begitu terinspirasi dengan kasih sayang antara dia dan suaminya selain, bagaimana kedua-dua mereka menjalankan tanggungjawab kepada negara," katanya.

Lebih memberikan kesan kepadanya adalah, ketika bertemu dan meluangkan masa bersama Wan Azizah.

"Antara kenangan yang takkan saya lupakan adalah ketika bertemu dengan Wan Azizah di sebuah hotel.

"Tapi, dia membawa makanan bekal yang dimasaknya sendiri. Lebih manis, dia memberikan gelang tasbih kepada saya," katanya.

Filem yang mempertaruhkan kisah perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dibintangi oleh Farid sebagai Anwar, Acha (Wan Azizah), Hasnul Rahmat (Mahathir) dan Firdaus Karim (Rusli Ibrahim) dan ramai lagi.

Filem Anwar: The Untold Story diarahkan oleh pengarah Indonesia, Viva Westi dari Indonesia.

Acha dan Farid Kamil membintangi filem Anwar: The Untold Story.
Acha dan Farid Kamil membintangi filem Anwar: The Untold Story.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 8:42 PM