Ramlah Zainal


Shah Alam: Pasangan pelakon, Farid Kamil dan Diana Danielle akan menjalani proses sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Prosiding ini adalah proses perbincangan untuk mencapai kata sepakat antara kedua belah pihak.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir. manakala Farid, 42, pula diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Seramai 20 pengamal media sudah berkumpul di ruang menunggu mahkamah untuk membuat liputan kes sulh pasangan selebriti itu sejak jam 8 pagi tadi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pasangan pelakon itu dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk berdamai sewaktu sebutan permohonan cerai yang difailkan Diana.

Pelakon Imaginur itu memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada 10 Mac lalu dengan alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Namun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Pasangan pelakon popular itu bernikah pada 3 November 2012. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8.

 Nadzim Johan.
Nadzim Johan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 11:38 AM