Nelydia Senrose pada Majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini bersama anak yatim di Shangri-La Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nelydia Senrose pada Majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini bersama anak yatim di Shangri-La Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Nelydia Senrose, 28, memaklumkan kakaknya Uqasha Senrose dan abang iparnya Kamal Adli masih trauma dengan insiden berlaku di Singapura baru-baru ini.

Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen berkata Kamal khasnya sedikit risau untuk keluar bebas dan berehat sepenuhnya ketika ini. 

"Mereka dalam keadaan baik cuma masih trauma dan ketakutan. Mereka masih perlukan semangat untuk menjalani kehidupan seharian.Uqasha sudah kembali bekerja dan sering ditemani.

"Kamal pula dalam keadaan berjaga-jaga sebab kes masih dalam siasatan. Oleh kerana kami pun tak tahu motif penyerang itu, jadi Kamal tidak berani bebas keluar. Mungkin ambil tempoh ini untuk berehat," katanya.

Nelydia berkata mereka sekeluarga juga sebenarnya terkesan dengan kejadian malang tidak berbau itu. Mana tidak, anggota keluarga lain turut berada di lokasi ketika itu.

"Ahli keluarga lain ada di sana ketika itu kecuali saya, emak, dan Raysha. Memang kami trauma terutama kakak paling tua yang berada sendiri di tempat kejadian.

"Kalau ikutkan, saya pun patut pergi sana tapi tak sempat kerana ada hal. Kami terpaksa berjaga-jaga dan tidak berani keluar sendirian kerana insiden itu," katanya ditemui pada Majlis Buka Puasa Rizman Ruzaini di sebuah hotel di sini, semalam.

Terdahulu, Kamal mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi.

Kamal kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan.

Sejurus itu, penyerang terbabit ditahan pihak polis di sana.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 5:27 PM