Izzue Islam. FOTO Eizairi Shamsudin
Izzue Islam. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Penyanyi dan pelakon, Izzue Islam diumumkan sebagai pengacara terbaharu, program Muzik Muzik 38 (MM38), yang akan mula bersiaran pada Ahad ini di TV3.

Izzue ketika ditemui berkata, ini adalah pencapaian di luar jangkaan buatnya secara peribadi, dalam bidang pengacaraan.

"Sejujurnya, saya tak pernah terfikir akan berada di posisi sebagai pengacara untuk program ikonik ini. Saya anggap ini sebagai rezeki saya dalam bidang pengacaraan.

"Bila ditawarkan untuk menjadi pengacara program MM38 ini, memang saya akui, ada rasa gementar juga. Saya tonton musim-musim terdahulu dan kebanyakannya, pengacara program ini adalah secara berpasangan," katanya.

Menurutnya, dia juga meminta tunjuk ajar produksi terutamanya penerbit untuk memastikan, ada kelainan yang ditampilkan.

"Konsep kali ini juga berbeza kerana tak ada band dan cuma ada saya sebagai pengacara dan juga tetamu-tetamu jemputan. Jadi, saya ada minta tunjuk ajar daripada pasukan produksi untuk bantu saya.

"Saya akan cuba tampilkan kelainan. Hari ini, kami akan mulakan rakaman untuk episod pertama. Saya akan cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Penerbit Eksekutif MM38, Muhammad Sufian Che Isa berkata, pemilihan Izzue adalah bersesuaian dengan beberapa kriteria di samping ingin menampilkan kelainan dalam program ini.

"Izzue menepati beberapa kriteria antaranya, dia memiliki ramai pengikut, popular dan berpenampilan menarik. Jadi, harapnya, dengan adanya Izzue, kita dapat melihat peningkatan dari sudut rating.

"MM38 menampilkan Izzue secara solo kerana durasi untuk MM38 hanya 22 minit. Jadi, kami yakin, Izzue dalam mengikut rentak pengacaraan sesuai dengan durasi itu.

"Selain itu, kami juga ingin menambah warna dalam program ini dengan konsep yang lebih segar," katanya.

MM38 bersiaran setiap Ahad, jam 12 tengah hari di TV3 membawakan beberapa kelainan antaranya, segmen baharu, Muzik Mania, yang akan memberi ulasan mengenai konsert artis tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 2:54 PM