Maya Karin bersama Puteri Rafasya. FOTO instgram Maya Karin
Maya Karin bersama Puteri Rafasya. FOTO instgram Maya Karin
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon, Maya Karin, 43, akan memastikan syarikat produksi yang menawarkannya berlakon menyediakan perlindungan insurans bagi memastikan keselamatan sepanjang di lokasi penggambaran.

Ia berikutan kemalangan yang menimpa pelakon kanak-kanak, Puteri Rafasya, 12, ketika penggambaran drama Jaga Aku Selamanya di Beranang, Selangor, hujung bulan lalu.

Maya berkata, aspek keselamatan sering dipandang ringan oleh segelintir pihak produksi di Malaysia.

"Insiden seperti kemalangan adalah risiko yang perlu dihadapi pelakon dan kru. Pihak produksi perlu memandang serius isu membabitkan keselamatan pelakon dan kru di lokasi penggambaran bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang," katanya.

Maya berkata, dalam masa sama dia juga memiliki polisi insurans perlindungan sendiri sekali gus menjadi perlindungan berganda untuk dirinya.

Sementara itu, Maya turut meluangkan masa melawat Puteri Rafasya yang kini dirawat di Wad Pediatrik Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini, baru-baru ini.

"Puteri sangat gembira bila saya datang melawatnya. Maklumlah, dia menjadi 'anak' saya dalam filem Telaga Suriram dan kami terbabit dengan penggambaran filem itu hampir setahun.

"Saya tengok memang Puteri susah untuk berjalan dan perlu menjalani lebih banyak fisioterapi lagi. Sama-sama kita doakan semoga Puteri cepat sembuh," katanya.

Dalam laporan terdahulu, Puteri Rafasya mengalami kemalangan hingga menyebabkan tulang pinggulnya retak di lokasi penggambaran drama berkenaan.

Kemalangan berpunca apabila kerusi ditarik akibat perbuatan seorang kanak-kanak yang tidak sepatutnya berada di lokasi penggambaran dengan niat untuk bergurau.

Keadaannya bertambah serius kerana Puteri tidak mampu berjalan sehingga terpaksa dimasukkan ke HTA dan kini mengalami masalah saraf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 1:04 PM