Janna (tengah) bersama Puteri Sarah (kanan)
Janna (tengah) bersama Puteri Sarah (kanan)
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Janna Nick mengajak pengikutnya untuk memboikot pengarah Syamsul Yusof yang didakwa sengaja memanipulasi konflik rumah tangga dengan isteri pertamanya yang juga pelakon Puteri Sarah Liyana.

Janna menerusi beberapa hantaran di Instagram Story miliknya tampil mempertahankan Puteri Sarah yang dilaporkan dianiaya oleh suaminya selama hampir empat tahun.

"Saya sangat benci dia. Sebab itu saya lapor akaun Instagram dia. Jom sama-sama lapor dan boikot. Berani dia gunakan media sosial untuk memanipulasi dan aniaya isteri dia," katanya.

Bagaimanapun hantaran yang dimuat naik itu difahamkan sudah dipadam pelakon itu. Menerusi hantaran berbeza, Janna turut menyifatkan Syamsul sebagai suami yang mengabaikan tanggungjawab kepada isteri dan dua anaknya.

"Berhenti bermanipulasi. Jangan aniaya isteri, ibu kepada anak-anak sendiri. Kalau dah tak cinta, lepaskan. Bukan gantung tak bertali."Jangan jadi munafik. Maaf saya tak boleh," tulisnya.

Dalam masa sama, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 28, turut berkongsi keperitan yang diharungi Puteri Sarah dalam menguruskan anak-anak tanpa suami di sisi.

"Saya sendiri bersamanya (Puteri Sarah) masa anak dia masuk hospital. Bapa dia mana? Lepas tangan. Bini itulah yang ke hulu ke hilir jaga anak.

"Hantar anak pergi sekolah. Balik sekolah seorang diri. Kau? Adakah kau fikir duit adalah segalanya?" tulisnya.

Tambah Janna, dia tidak mempunyai niat untuk mencampuri urusan rumah tangga orang lain, tetapi berasa sedih dan marah apabila pengarah itu menuduh Puteri Sarah tidak pulang ke rumah.

"Saya tidak akan masuk campur kalau kamu diam. Dah kahwin, okay cukup. Jangan cakap dia (Puteri Sarah) derhaka. Saya marah bila dia kata isteri dia tak balik rumah.

"Kepada semua lelaki di muka bumi ini, jangan aniaya isteri. Paling teruk bila kamu guna agama untuk tutup kesalahan kamu.

"Maaf saya tidak boleh bersama lelaki seperti ini. Sumpah saya tidak boleh. Bagilah duit RM100 juta sekali pun, saya tetap tidak mahu," katanya.

Semalam, Syamsul mengumumkan sudah berkahwin dua dengan Ira kazar di Thailand. Majlis akad nikah berkenaan berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 1:06 PM