Shad bertemu bapanya.
Shad bertemu bapanya.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi popular lagu Pertama Kali, Shaa meluahkan rasa syukur apabila dapat bertemu dengan bapanya, Johari Abdullah, 65, selepas empat tahun terpisah.

Enggan mendedahkan punca perpisahan itu, Shaa, 28, atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari bagaimanapun berkata, pembukaan tahun 2023 memberi peluang kepada dirinya untuk bersama dan menggembirakan cinta hatinya itu.

"Pembukaan tahun baru yang indah untuk saya dan seluruh keluarga. Alhamdulillah akhirnya ayah saya kembali ke pangkuan selepas empat tahun kami terpisah.

"Selama ini ayah yang menguruskan dan menjaga saya, tapi bila ayah tiada hidup saya jadi kosong. Tambah pula saya sangat rapat dengan ayah.

"Hampir setiap hari saya menangis untuk bertemu ayah, tapi saya percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Saya reda dan hilang kata-kata apabila 22 November lalu menjadi titik pertemuan kami sekeluarga.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi punca perpisahan ini kerana terlalu personal untuk dikongsikan kepada umum," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shaa, dia terkejut apabila melihat perubahan pada berat badan bapanya yang semakin susut dan berjanji akan memberikan sepenuh sayang.

"Tahun ini baru lengkap ahli keluarga saya. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan saya berjanji akan menjaga bapa saya dengan sebaik mungkin.

"Saya nak bahagiakan dia dan pastikan berat badannya naik semula. Masa bertemu dengan ayah, berat badannya susut hampir 10 kilogram. Jadi saya nak gembirakan dia macam dulu," katanya.

Terdahulu Shaa berkongsi kegembiraan bersama pengikut apabila lembaran tahun 2023 memberi peluang kepadanya untuk bersama bapanya selepas terpisah selama empat tahun.

Menerusi video itu, Shaa dilihat bersalam dan memeluk bapanya dengan penuh erat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:42 PM