Latihan pementasan MMS
Latihan pementasan MMS
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Selepas dua kali menunda pementasan akibat beberapa masalah teknikal, teater Muzikal Moyang Salleh (MMS) akan menemui peminat di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula malam ini hingga Ahad.

Bagaimanapun teater terbitan Karyawan Negeri Sembilan dan Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu arahan Roslee Mansor dengan skrip tulisan Subroto Katimin ini tampil berbeza apabila mengetengahkan beberapa pelakon baharu bagi menggantikan nama-nama sedia yang dicanangkan sebelum ini.

Hanya penggiat teater AR Kamarul (Datuk Penghulu Johol) yang kekal berlakon manakala watak Moyang Salleh yang sepatutnya diperankan oleh pelakon terkenal Datuk Ahmad Tamimi Siregar kini digalas oleh Roslee Mansor.

Pelakon-pelakon asal Muzikal Moyang Salleh ialah Khir Rahman (Sultan Abdul Jalil Muazam Shah), Aloeng Silalahi (Datuk Penghulu Rembau), Along Eyzendy (Si Amat), Azhar Jalil (Si Amat), Hairi Safwan (Datuk Bendahara), Mubarak Majid (Datuk Temenggung), Zuhairi Ibrahim (Tok Laut Api), Raja Mohd Hafiz (Tok Gagah Lela Perkasa), Haf Dzi Sofi (Tok Beruang Hitam), Zaim Zainal (Tok Bauk) dan AR Kamarul (Datuk Penghulu Johol).

Tempat mereka kini digantikan oleh Shaharuddin Thamby, Dean Sitara, Fuad Nasir, Zaidy DLB, Hanny Maru, Shahril Kamil, A Halim Zainal, Suky San, Aim Zackry, Silahudin Ahmad, Md Hussin, Subroto Katimin, Rusmawati Yassin, Hafyz Sattar dan Fateh.

Perancangan asal produksi MMS menyaksikan teater ini sepatutnya dipentaskan di di Panggung Sari, Istana Budaya pada akhir Ogos lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan. Bagaimanapun ia gagal dipentaskan membuatkan penerbitnya mencari tarikh baharu iaitu pada 23 hingga 25 September di Auditorium Raja Melewar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan (JKKN NS).

Bagaimanapun usaha terbabit sekali lagi menemui kegagalan sehinggalah tarikh sebenar pementasan bermula pada malam ini.

Muzikal Moyang Salleh berdasarkan kisah lagenda Negeri Sembilan sekitar tahun 1770-an. Datuk Moyang Salleh memerdekakan Jelebu daripada jajahan takluk Johor suatu ketika dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 6:41 PM