AHMAD Idham. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Idham. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang baru dilantik menjadi Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan menyerahkan kepada pucuk pimpinan soal menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahmad Idham berkata, dia juga tidak tahu menahu sama ada namanya dicadangkan atau disebut-sebut gabungan itu.

"Menjadi calon PRU bagi saya terserah kepada pucuk pimpinan gabungan. Saya pun baru tahu jika perkara ini ada ditimbulkan, berderau juga baca. Sebab setakat ini tidak ada pula saya dipanggil lagi.

"Kalau ada pun, mungkin hasrat daripada Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim yang memang tahu gerak kerja Hab Pendidikan Khas yang saya asas dan gerakkan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin memberi impak di mata masyarakat.

"Dia yang bergerak dengan orang tempatan, jadi dia tahu. Apa yang membuatkan saya gembira apabila kerja saya ini orang bercakap ke arah positif," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ahmad Idham, dia terbuka dan tidak ada masalah jika cadangan menamakannya dirinya sebagai calon dibuat.

"Bagi saya kalau ia satu cadangan tidak ada masalah. Terpulang kepada mereka. Saya okay saja. Saya memang sudah lama berkhidmat kepada masyarakat. Sebelum menyertai gabungan ini lagi saya sudah bergerak dalam masyarakat.

"Ia bukan soal sudah bersedia atau tidak, tapi saya memang sudah buat lama. Malah, dah ada 'track record' pun. Begitu juga pengalaman saya ketika berada di agensi kerajaan sebelum ini.

"Saya yang berada dalam pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) ini sentiasa berkhidmat untuk komuniti dan ia bukan mainan politik. Itu juga pendekatakan digunakan GTA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 3:59 PM