ZARA teruja membintangi drama komedi berjudul Honey Moon.
ZARA teruja membintangi drama komedi berjudul Honey Moon.
Najiy Jefri


ZARA Zya mengakui semakin memilih sebarang tawaran berlakon drama supaya dapat mengekalkan kualiti sebagai pelakon.

Mengakui setiap watak yang dibawakan memiliki cabaran tersendiri, Zara bagaimanapun sentiasa bersikap terbuka dalam mencari kelainan untuk meneroka watak baharu.

"Saya kini membintangi sebuah drama komedi berjudul Honey Moon. Jujurnya berlakon drama komedi bukannya mudah. Susah nak buat orang terhibur dan bimbang lakonan saya tidak bersahaja. Jadi dalam drama ini saya banyak mengikut idea pengarah.

"Dalam menerima tawaran berlakon, memang saya memilih, tetapi sekarang ini semua watak yang diberikan sangat menarik, jadi tak perlu untuk saya hadkan," katanya.

Bergandingan dengan Ben Amir dalam drama arahan Pali Yahya itu, Zara mengaku sukar mencipta keserasian pada peringkat permulaan, namun semuanya berjalan dengan lancar.

"Ketika di lokasi penggambaran, pada awalnya keserasian dengan Ben agak susah kerana dia pendiam dan banyak buat hal sendiri.

"Jadi, saya lebih mendekati dia untuk kurangkan rasa malunya. Ben seorang pelakon yang sangat 'memberi' dan mudah bekerjasama," katanya.

Drama Honey Moon ditayangkan di slot Lestary, TV3 bermula 16 Julai lalu.

Biarpun lebih sedekad dalam industri seni, kehadiran Zara dalam industri seni lakonan masih terus menjadi rebutan.

Zara mengaku bimbang apabila dua drama lakonannya iaitu Honey Moon dan Risik Pada Hati ditayangkan serentak di TV3.

Dia risau sekiranya penonton bosan melihat wajahnya kerap menghiasi slot drama di kaca TV selain enggan watak yang dijayakan dibandingkan.

"Takut juga nanti orang katakan asyik muka sama sahaja di TV, sedangkan orang tidak tahu penggambaran salah satu drama itu sudah lama dilakukan.

"Dua drama ini pula genre berbeza, jadi bimbang nanti orang akan bandingkan lakonan saya. Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pelakon versatil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 6:45 AM