Afdlin Shauki.
Afdlin Shauki.

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki menegaskan mengenai tindakannya tidak menyokong penutupan Crackhouse Comedy Club kerana ia membabitkan periuk nasi banyak pihak yang tidak bersalah.

Menerusi hantarannya di Facebook, Afdlin yang pernah membuka restoran Comedy Planet suatu ketika dulu menjelaskan isu itu membabitkan individu dan bukan lokasi serta orang lain yang tidak bersalah.

"Kenapa saya berkata saya menentang penutupan kelab itu? Ini kerana isu periuk nasi orang yang mencari rezeki dengan membuat komedi. Semua orang ada kelebihan mereka yang diberi untuk mencari nafkah. Jadi, isunya kita kena dakwa pesalah itu! Bayangkan seorang datang ke tempat kerja anda dan tiba-tiba 'mendajal' anda semua sampai tempat kerja semua kena tutup. Apa perasaan anda?" tulisnya.

Baru-baru ini, tular di media sosial paparan video berdurasi 54 saat yang menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu acara komedi di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran, sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Insiden itu menyebabkan pemilik kelab itu diarahkan untuk menghentikan operasinya.

Kelmarin, Afdlin dalam satu kenyataan tidak bersetuju dengan penutupan kelab itu yang selama ini menjadi pentas kecil bagi bakat baharu pelawak solo (stand up) beraksi.

Afdlin menerusi hantaran di Instagram memaklumkan kelab itu perlu terus beroperasi berikutan permasalahan berlaku membabitkan individu yang melakukan kontroversi dan tiada kena-mengena dengan tempat itu sebagai platform ketengahkan bakat.

Menurut Afdlin, prosedur operasi standard (SOP) yang tegas perlu diperjelaskan kepada setiap yang ingin membuat persembahan di 'open mic'.

"Saya berdiri untuk isu ini kerana saya juga ada restoran komedi yang berbentuk keluarga, Comedy Planet dahulu.'Open mic' kami dilakukan dan dibuka untuk orang yang nak mencuba dan di restoran saya, (Comedy Planet) tak pernah kami alami apa-apa penghinaan kepada agama pasal SOP yang kami beri pada pelawak.

"Jadi penutupan sementara untuk membantu siasatan polis, silakan, tapi bila saya dengar berita Crackhouse akan ditutup, saya agak terkejut. Ini kerana ia tempat di mana ramai pelawak ternama di kaca TV sekarang mendapat permulaan mereka," tulisnya.

Afdlin yang cukup dikenali sebagai aktivis kerja-kerja amal serta kemanusiaan turut menegaskan prinsipnya dalam menegakkan agama Islam.

"Saya seorang beragama Islam yang sangat terkesan dan sekeras-kerasnya melaknat apa yang dibuat oleh mana-mana orang yang menghina Islam. Di dunia memang patut disaman dan dipenjarakan, tapi di akhirat dia sendiri mesti mahu ingat.

"Orang yang mengenali saya mengetahui komitmen saya kepada agama Islam, kerja-kerja NGO di Palestin, Syria dan usaha saya untuk sentiasa memberi manfaat kepada orang di sekeliling saya. Yang tak mengenali saya, akan cakap apa saja yang diorang suka. Saya maafkan," tulisnya.

Terdahulu, pendirian Afdlin itu sebelum ini menerima pelbagai reaksi daripada netizen dan orang-orang dari dalam industri hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 6:28 PM