AWIE dan rakan pada sidang media Raikan Cinta Ramadan Wings.
AWIE dan rakan pada sidang media Raikan Cinta Ramadan Wings.
Meor Riduwan Meor Ahmad


TERPALIT isu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika persembahan sulung pada Ramadan tahun lalu tidak memberi bekas buat kumpulan rock legenda, Wings.

Penyanyinya, Datuk Awie berkata, Wings kini teruja untuk menjayakan Showcase Raikan Cinta Ramadan Wings buat kali kedua di Hotel LaCrista, Melaka pada 16 April depan.

Menurutnya, dalam persembahan selama 90 minit itu, mereka akan menyampaikan 15 lagu berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian yang menjadi nadi Wings sejak 1987.

"Mungkin ramai orang tidak perasan lagu Wings sejak 1987 liriknya banyak berkisarkan perjuangan, ketuhanan dan kemasyarakatan. Antaranya Dari Tuhan, Belenggu Irama, Anugerah, Hukum Karma, Sejati, Sayap Ilusi, Opera Hidup dan Fotostat. Ini semua lagu keadaan semasa yang berlaku dan tiada soal cinta melampau antara wanita dengan lelaki," katanya pada sidang pada sidang media showcase berkenaan di hotel berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Hotel LaCrista, Datuk Rosthman Ibrahim dan Pengurus Projek, Mubarak Akhtar.

Apa yang pasti, persembahan Wings yang turut dianggotai Eddie (bass), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) pasti lebih memukau.

Awie berkata, sesuai dengan Ramadan, persembahan bakal dijayakan bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya pengisian rohani dan ibadat tidak dilupakan.

"Apabila dengar nama Wings, orang kata 'gila' ni, rock. Kita faham, jika kita boleh terima kumpulan nasyid dengan lirik ketuhanannya, mengapa tidak Wings dengan lirik ketuhanan kami. Sama saja yang beza cuma konsep," katanya.

Awie berkata, Showcase Raikan Cinta Ramadan Wings akan bermula selepas pengisian keagamaan seperti tazkirah, majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah yang diketuai pendakwah, Maulana Wan Helmi Al-Hafiz.

Bagi mengelak insiden perlanggaran SOP berulang, pihaknya dan pengurusan hotel akan memperketatkan lagi kawalan SOP sewaktu persembahan.

"Pihak hotel akan bawa pengawal jaga ketenteraman semasa persembahan kerana kita tidak mahu isu berbangkit yang akan mencemarkan nama hotel, Wings dan saya buat kali kedua.

"Saya juga akan mencari kaedah sesuai untuk mendekati peminat yang hadir sebagai penghargaan atas sokongan diberikan. Saya sendiri mahu dekat dengan peminat sebab mereka adalah pembawa semangat pada kami, rezeki kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 6:44 AM