Amir Mamat

Melaka: Penyanyi, Datuk Awie memberi jaminan akan memastikan pengunjung ke Showcase Wings sempena program Raikan Cinta Ramadan di Hotel LaCrista, di sini, mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, meskipun banyak kelonggaran diberikan kerajaan dalam penganjuran program, menerusi peralihan ke fasa endemik bermula 1 April ini, namun tidak bermakna peminatnya boleh melakukan perkara yang boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

"Tindakan kompaun yang dikenakan terhadap kami pada persembahan tahun lalu adalah pengajaran kepada kita semua supaya terus mematuhi SOP.

"Dalam kita berhibur, jangan kita lupa untuk mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan. Saya yakin, peminat Wings boleh melakukannya dan sudah pasti mereka sangat patuh kepada SOP yang ditetapkan," katanya pada sidang media Raikan Cinta Ramadan di hotel itu tadi.

Turut hadir, Pengarah Urusan Hotel LaCrista Datuk Rosthman Ibrahim; Pengurus Projek, Mubarak Akhtar (Hatta Mubarak) serta beberapa anggota Kumpulan Wings iaitu Sham, Eddie dan Black.

AWIE ada sidang media Raikan Cinta Ramadhan. FOTO Syafeeq Ahmad
AWIE ada sidang media Raikan Cinta Ramadhan. FOTO Syafeeq Ahmad

Showcase kali kedua anjuran Awie Entertainment dengan kerjasama HS Shazliciious Trading dan Hotel LaCrista itu bakal berlangsung pada 16 April depan dengan menampilkan beberapa aktiviti keagamaan seperti tazkirah, majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah yang diketuai pendakwah, Maulana Wan Helmi Al-Hafiz.

Turut diadakan, penyampaian sumbangan kepada anak yatim.

Pada 'showcase' yang sama tahun lalu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dikompaun kerana menyanyi sambil dikerumuni peminatnya tanpa memakai pelitup muka.

Mengulas lanjut, Awie berkata, beliau akan menyampaikan lagu berunsur ketuhanan dan dakwah pada persembahan pertengahan bulan hadapan itu.

Ia termasuk selawat, zikir, Asmaul Husna serta lagu dari album pertama yang berunsur ketuhanan.

"Bagi memastikan 'showcase' kali ini berjalan lancar, kami bersama pihak hotel akan menyediakan anggota khas bagi memastikan peminat sentiasa mematuhi SOP.

"Menerusi langkah itu, saya harap 'showcase' kali ini tidak menimbulkan apa-apa masalah sehingga melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 3:06 PM