KEADAAN Bob yang kini kurang sihat di rumah.
KEADAAN Bob yang kini kurang sihat di rumah.
Norhayati Nordin


Dalam kehidupan ini, tiada orang yang menginginkan dirinya sakit atau kurang sihat. Apatah lagi, jika menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Namun, rezeki sihat itu datangnya daripada Allah.

Bagi pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 58, yang sudah lama sakit, dia bersyukur isteri, Relawati Daud dan anak-anaknya memahami keadaan itu. Malah, katanya isteri tercinta juga semakin mahir berdikari mencari rezeki.

"Saya kini berada dalam keadaan kesihatan yang sering tidak menentu. Ada masa keadaan badan ini okey dan tiba masa sebaliknya pula. Jadi, penting untuk saya melatih isteri dan anak berdikari.

"Alhamdulillah, sejak dua tahun lalu, saya bersama isteri sudah memulakan perniagaan tempahan makanan sebagai usaha kami mencari rezeki buat menyara keluarga.

"Kami mengambil tempahan jualan bubur daging dimasak sendiri serta serunding daging yang diambil dari kilang rakan saya. Bagi saya, pembabitan kecil-kecilan dalam bisnes ini adalah persediaan untuk keluarga di masa akan datang," katanya.

Menurut Bob, dia tidak tahu sampai bila Allah akan meminjamkan nyawa kepadanya, jadi sebelum apa-apa berlaku dia berasa perlu melatih isteri dan anak-anak berdikari.

"Sekarang pun, macam saya kata keadaan kesihatan kurang baik. Saya kini mengalami masalah jantung lemah dan sakit perut sejak lebih seminggu lalu. Malah, kini saya kena banyak berehat dan kurangkan berjalan.

MOHON doakan kesihatan, Bob ingin pulih.
MOHON doakan kesihatan, Bob ingin pulih.

"Kalau banyak berjalan, saya akan cepat penat pula. Jadi, masa saya banyak terbaring di katil serta melihat isteri dan anak sibuk menyiapkan tempahan makanan diterima.

"Sambutan daripada pelanggan pun sangat baik dan kini kami juga sudah merancang tempahan untuk Ramadan. Jadi, bagi sesiapa yang berminat nak beli bubur daging dan serunding daging, boleh hubungi serta kirim mesej di Facebook saya," katanya.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia amat berterima kasih kepada semua yang menjadi pelanggan dan membantu usaha keluarganya.

Berbicara pula mengenai kesihatannya, Bob berkata dia sentiasa optimis. Namun, ujarnya dia tetap memohon doa ramai untuk kesihatannya diberi kesembuhan oleh Allah.

"Saya reda dengan ujian kesihatan ini. Walaupun kadang-kala, semangat dalam diri ini lemah kerana banyak berfikir, tetapi saya sentiasa sabar dengan dugaan yang Allah berikan ini.

"Demi isteri dan anak-anak juga, saya akan bertahan dan terus bersemangat untuk sihat semula. Cuma, tarikh temujanji saya dengan doktor di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah pada 27 Mac ini," katanya.

Terdahulu, pada 3 Oktober tahun lalu, Bob menjalani rawatan laser di jantung dan dia dimasukkan ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) hospital itu berikutan jantungnya pada bahagian atas tidak berfungsi dengan baik.

Sebelum itu, Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama, selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu 'Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) pada awal Disember 2020 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 6:48 AM