ERYSHA akui jadual kerja padat selepas bergelar pelakon.
ERYSHA akui jadual kerja padat selepas bergelar pelakon.

Syafil Syazwan Jefri

[email protected]

Melangkah masuk dalam industri hiburan dan menggalas tanggungjawab sebagai pelakon tentunya memerlukan pengorbanan besar.

Bagi pelakon baharu, Erysha Emyra, 25, pengorbanan terbesar yang dirasakannya adalah kekangan waktu dan jadual kerja yang padat walaupun dalam musim perayaan.

"Untuk Aidilfitri lalu, saya tergesa-gesa membuat persiapan kerana setiap hari jadual saya sangat padat. Baju pun, saya pakai apa yang saya sempat saja. Tak sempat nak keluar membeli-belah betul-betul. Saya hanya mula bercuti dua hari sebelum Aidilfitri dan pulang meraikannya di Kelantan," katanya.

Ditanya sama ada dia merancang mengadakan sesi rumah terbuka buat peminat memandangkan ini tahun pertamanya sebagai artis, Erysha berkata, dia tidak mahu berjanji memandangkan perlu kembali ke lokasi penggambaran tak lama lagi.

"Insya-Allah. Tapi, rasanya kalau tengok jadual kerja saya, macam tak sempat sebab selepas habis cuti, terus kembali ke lokasi untuk penggambaran. Jadi, tak sempat nak bercuti selepas itu. Keluarga memahami dan sangat menyokong kerjaya saya," katanya.

Bagaimanapun, anak kepada pelakon, Datin Seri Noniswara ini tidak pernah menyesal dengan pilihan dan keputusannya untuk menjadi pelakon.

"Tak menyesal pun. Kekangan masa itu saya rasa biasa saja sebab kerja apa pun, masalah itu tetap ada. Jadi, saya kena terima sendiri," katanya.

Kekangan masa itu juga nampaknya menyebabkan nama Erysha terpalit dengan gosip mendakwa dia lambat memuat naik hantaran seperti dijanjikan untuk satu organisasi yang menaja percutiannya ke luar negara tahun lalu.

"Saya membuat hantaran di media sosial agak lambat. Ini kerana selepas kembali dari percutian itu, saya terus ke lokasi penggambaran.

"Memang saya nak muat naik selepas pulang, tapi isu Palestin sedang hangat. Jadi, kalau nak muat naik pada ketika itu rasanya seperti tak sensitif pula. Jadi, saya buat keputusan untuk tangguh sekejap. Ia kemudian tertangguh agak lama apabila saya sibuk dengan penggambaran. Memang salah saya juga," katanya.

Erysha berkata, selepas habis penggambaran, bapa tirinya pula meninggal dunia.

"Bukan tak mahu, tapi situasi tak mengizinkan. Percutian itu ditaja, tapi tak ada sebarang kontrak yang memerlukan kami untuk muat naik beberapa hantaran atau apa. Ia sekadar manfaat bersama. Kalau mereka terasa, saya minta maaf sangat-sangat. Kami tak ada masalah apa-apa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 6:30 AM