RADIN disahkan positif Covid-19.
RADIN disahkan positif Covid-19.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengacara dan penyampai radio Radin Emir Effendi, 32, disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan virus itu, semalam.

Radin berkata, hatinya tergerak mahu melakukan ujian RTK (Real Time Kinematic) di sebuah klinik selepas berdepan sakit tekak selain merasakan badannya mula tidak sihat.

"Saya mulai sakit tekak pagi semalam selepas bangun tidur. Mulanya saya ingatkan sakit tekak biasa tapi, rasa perit itu semakin teruk sehingga tak boleh telan air liur sendiri.

"Saya juga ada merasa lenguh badan dan terus ke klinik untuk buat RTK. Saya memang sudah bersedia serta reda sekiranya saya positif ketika itu dan memang benar keputusannya positif," katanya.

Radin berkongsi dia kini menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari bermula semalam. Menurutnya, simptom-simptom virus itu mula dirasainya dan bersilih ganti dengan cepat.

"Alhamdulillah sakit tekak sudah tiada tapi sekarang sudah rasa demam, selesema, dan badan lemah. Tapi, syukur deria bau dan rasa masih lagi normal serta selera makan pun macam biasa.

"Saya hanya perlu berehat secukupnya dan kalau keadaan beransur okay, mungkin saya akan bertugas dari rumah juga dalam tempoh kuarantin ini," katanya.

Penyampai radio Era itu turut bersyukur kontak rapatnya dalam tempoh beberapa hari ini bebas daripada virus terbabit. Semalam, Radin berkongsi berita dirinya positif Covid-19 menerusi Instagram.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 1:30 PM