Syazuwan Hassan
Syazuwan Hassan
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Bagi saya, benda itu (tuduhan tak berasas oleh bekas kekasih) adalah satu hal yang biasa. Kadang-kadang, kita tidak boleh halang apa orang nak cakap. Itu pilihan peribadi dia. Tak mengapalah.

Demikian ulas pelakon Syazuwan Hassan yang didakwa curang dengan seorang pelakon baharu seperti yang pernah dibongkarkan bekas kekasihnya sebelum ini.

Bekas kekasih Syazuwan mendakwa dia menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon wanita itu sehingga menyebabkan kasih yang mereka bina selama 11 tahun akhirnya putus.

Menurut Syazuwan, setiap orang mempunyai had kesabaran dan dia berharap agar tiada sesiapa yang cuba mencabar kesabarannya itu.

Katanya, dia tidak mahu terus membincangkan hal sebegitu kerana ia perkara berkaitan peribadi yang tidak perlu digembar-gemburkan.

Mengambil pendekatan untuk tidak membuka aib mana-mana pihak, Syazuwan berpendapat hal yang terlalu peribadi usah dikongsi.

"Saya memilih untuk berdiam diri memandangkan hal ini membabitkan peribadi. Biarlah saya sendiri saja yang tahu".

"Macam yang saya pernah kata, kalau boleh tidak mahu kongsi hal peribadi. Suatu hari nanti, kalau ada yang bakal dikhabarkan, semua akan tahu.

"Berdasarkan pengalaman, saya ambil pendekatan elak untuk berkongsi, biarlah hanya keluarga terdekat  yang tahu," katanya.

Bagaimanapun, 'perang cinta' Syazuwan bersama bekas kekasihnya itu difahamkan lenyap tiba-tiba umpama ditelan waktu apabila perkongsian status dimuat naik wanita berkenaan di media sosial dipadam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 8:33 PM