HASIL ujian kit kendiri keluarga Khai.
HASIL ujian kit kendiri keluarga Khai.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Adik perempuan demam dulu, selepas buat ujian saringan dia disahkan positif Covid-19," kata penyanyi popular Khai Bahar mengenai keadaan keluarganya di Kangar, Perlis.

Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, ibu, kakak, lima anak saudara, adik dan adik ipar turut disahkan positif virus itu, semalam.

"Saya dimaklumkan perkara ini semalam selepas kesemua mereka disahkan positif. Jumlah sembilan orang yang kena. Mereka pun tak tahu dapat Covid-19 dari mana. Cuma, adik perempuan (anak kelima) dia yang demam sejak beberapa hari lalu.

"Jadi, apabila demam tak kebah juga, dia pun buat kit ujian kendiri Covid-19. Apabila hasilnya positif, semua yang duduk dalam rumah itu kena buat ujian sama dan mereka juga positif," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Khai, kesemua ahli keluarganya itu menjalani kuarantin di rumah.

"Sekarang mereka kuarantin di rumah. Setakat hari ini, alhamdulillah keadaan mak dan yang lain okey. Cuma, adik seorang saja yang masih demam.

"Saya harap mereka semua baik-baik saja dan tidak ada apa yang serius. Nak balik pun memang tak boleh lah. Jadi, cara terbaik adalah dengan hanya mendoakan kesihatan mereka dan boleh bercakap di telefon saja," katanya.

Dalam masa sama, Khai menasihati semua agar sentiasa menjaga diri dan terus patuh pada prosedur operasi standard (SOP).

"Kita tahu kes harian semakin meningkat. Jadi, saya nak nasihat pada semua supaya sentiasa berjaga-jaga. Jangan leka dan lupa pada SOP kita. Dalam pada kita berseronok dan ke mana-mana, kena ingat virus ini masih ada di sekeliling kita.

"Seperkara lagi, walaupun kebanyakan kita sudah mendapatkan vaksin ia bukan alasan untuk kita abaikan SOP. Kalau rasa tak ada keperluan nak keluar, duduk saja di rumah," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 3:35 PM