Jaafar Onn
Jaafar Onn
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Jaafar Onn, 70, tidak akan berhenti menegur mana-mana penggiat seni sama ada yang muda mahupun tua sekiranya melakukan perkara yang bertentangan dengan agama Islam.

Jaafar berkata, teguran dibuat atas kapasitinya sebagai orang tua.

"Kalau mereka tak dapat ditegur kita sebagai orang tua akan berdosa. Saya tak kisah kena kecam tapi kebanyakannya menyokong saya dalam hal ini.

"Tak dinafikan apabila saya sentuh isu artis yang pakai baju warna kulit, ada yang tak bertegur dengan saya sehingga sekarang tapi saya tak peduli. Ada juga yang saya tegur secara bergurau, bila lagi nak pakai tudung dan mereka jawab kubur masing-masing. Saya diam sahajalah," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila segelintir artis memanggilnya dengan gelaran papa sekali gus menunjukkan rasa hormat mereka terhadapnya.

"Saya pula apabila ke lokasi penggambaran akan bawa makanan dan itu ini. Jadi, mereka akan berkumpul beramai-ramai untuk makan. Tak nampak ada yang tak hormat saya.

"Ini memang cara saya sejak dulu. Namun, ada juga segelintir artis apabila dipelawa makan, berjanji akan makan tapi sudahnya tak berbuat demikian. Saya tak kisah dan lantak dialah. Yang penting saya dah berniat nak jamu mereka makan. Ada juga yang hanya jamah sikit, itupun dah memadai," katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kesihatan Jaafar bersyukur tidak menghidap sebarang penyakit kronik. "Saya tiada kencing manis, jantung atau yang dinamakan tiga serangkai kerana amat mementingkan penjagaan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 4:32 PM