Penerbit Drama Budak Tebing 3, Jalena Rejab (kiri).
Penerbit Drama Budak Tebing 3, Jalena Rejab (kiri).
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Keunikan kisah remaja yang melepak di bawah jambatan berjudul Budak Tebing diangkat sebagai Drama Terbaik di Anugerah Drama Sangat 2021 (ADS2021).

Penerbitnya Jalena Rejab berkata, dia tidak menyangka apabila percubaan kali pertama menerbitkan naskhah berkisarkan isu remaja yang sarat dengan mesej dan pengajaran itu membuahkan hasil menakjubkan.

"Saya tak jangka yang Budak Tebing akan diiktiraf sebagai Drama Terbaik memandangkan empat drama lain memiliki kekuatan tersendiri. Saya hasilkan drama ini disebabkan jalan ceritanya yang menarik dan mahu terbitkan sebuah karya yang terbaik.

"Lagipun kita dah lama tidak disajikan dengan naskhah yang mengangkat hal masyarakat. Bagi saya, salah satu faktor kejayaan drama ini adalah skrip serta komitmen yang diberikan seluruh tenaga produksi.

"Saya tiada sebarang formula sebaliknya, saya dan pengarah Feroz Kader selalu berbincang bagaimana nak pastikan penonton tertarik dengan karya ini.

"Jadi, kami akhirnya dapat idea untuk membuat penggambaran di bawah jambatan sebagai satu keunikan dan ia juga menjadi cabaran terbesar yang kami hadapi dari segi lokasi penggambaran," katanya.

Sementara itu, Jalena juga mengumumkan kesenimbungan drama Budak Tebing 3 yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.

"Kami masih dalam proses perbincangan dengan pihak TV3 dan menantikan skrip untuk edisi ketiga ini.

"Insha-Allah Budak Tebing 3 bakal menyusul sebanyak 13 episod dan bakal menjalani penggambaran jika semuanya berjalan lancar," katanya.

Selain Drama Terbaik, Budak Tebing turut berjaya memenangi beberapa kategori iaitu Pengarah Terbaik serta Penulis Skrip Terbaik.

Sementara itu, pengarahnya Feroz Kader berkata, dia terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Pengarah Terbaik untuk drama Budak Tebing.

"Ini satu penghargaan yang cukup luar biasa. Ketika diumumkan sebagai pemenang, saya rasa ini adalah hasil usaha kerja berpasukan serta sambutan yang diberikan penonton.

"Untuk drama Budak Tebing saya tidak berdepan sebarang kesukaran kerana apa yang kami rancang berjalan dengan lancar. Malah, barisan pelakon juga berjaya membawakan karakter mereka dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:34 PM