Elyana bersama suami, Khairul Anuar dan anak-anak.
Elyana bersama suami, Khairul Anuar dan anak-anak.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Anak perempuan Elyana, 34, iaitu Cinta Sumayyah, 11, adalah insan paling gembira sebaik mendapat tahu ibunya sudah pulih daripada kanser limfoma tahap empat yang dihidapi sejak 11 tahun lalu.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal ketika dihubungi berkata, dia sudah berkongsi berita gembira itu kepada anak-anak sejak kelmarin selepas dimaklumkan doktor mengenai keadaan terkini kesihatannya.

Selain Cinta, Elyana yang berkahwin dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 memiliki seorang anak angkat iaitu Cahaya Ramadhani, 2.

"Alhamdulillah, anak-anak dah tahu sejak kelmarin lagi dan mereka sangat-sangat gembira, terutama Cinta sebab dia dah besar. Malah, dia juga tahu penyakit saya ini sejak masih kecil dan belum berusia setahun lagi.

"Dia juga dah biasa kena tinggal di rumah orang iaitu rumah kawan-kawan saya yang menumpangkan dia ketika saya pergi ke hospital sejak dulu. Kadang-kadang kawan-kawan saya juga yang menghantar dan mengambilnya di sekolah.

"Dia turut merasa 'struggle' itu dan dia adalah insan paling gembira sehinggakan ketika saya pulang ke rumah, Cinta masih lagi bertanya betulkah bonda dah tak sakit, dah tak ada kanser lagi dalam badan bonda," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu dan Tak Tercapai Akalmu ini, dia dengan tenang dan senang hati menjelaskan berkali-kali kepada anak kesayangannya itu bahawa kini dia memang sudah pulih, sihat dan bebas dari kanser.

"Saya cakap pada dia, alhamdulillah dah tak ada (kanser). Ini semua sebab Cinta yang selalu solat dan doakan bonda. Jadi, saya lihat Cinta memang sangat seronok kerana dia rasa sudah mendapatkan bondanya semula macam orang lain.

"Dulu walaupun saya nampak sihat tapi selalunya saya tak dapat temankan dia jika ke hotel dan mandi di kolam renang. Saya tak dapat nak teman dia dan kadang-kadang hanya duduk di bilik kerana saya tak boleh duduk lama dan tak larat nak berjalan jauh. Kali ini mungkin dia mengharapkan bondanya ada perubahan. Boleh makan bersama-sama dengan dia. Kadang-kadang dia makan seorang diri di rumah sebab saya tak boleh makan dan tengok, rasa nak muntah," katanya.

Pada 2017, ketika menyertai program Gegar Vaganza musim keempat, Elyana membuat pendedahan mengejutkan bahawa dia menghidap kanser limfoma tahap empat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 1:22 PM