Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Hasrat pelakon dan usahawan, Rafidah Ibrahim atau Fida, 35, untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila dia mengalami keguguran, baru-baru ini.

Fida ketika dihubungi berkata, dia memang sedih dengan kehilangan itu, namun pada masa sama akur bahawa belum sampai lagi rezekinya dan suami, Shahzemir Shahzulkarib, 37, untuk memiliki anak.

"Saya mengalami pendarahan ketika kandungan berusia lebih 10 minggu. Mungkin akibat tekanan kerja dan kurang rehat menyebabkan rahim saya tidak kuat bertahan.

"Apapun, sebab utamanya adalah saya dan suami belum diizinkan Allah SWT untuk menimang cahaya mata lagi. Sekarang saya masih dalam proses berpantang 44 hari seperti wanita yang bersalin juga," katanya kepada Harian Metro.

Fida berkata, dengan apa yang berlaku itu, dia banyak mendapatkan rujukan dan nasihat daripada doktor. Katanya, doktor meminta dia menjaga pantang dari segi pengambilan makanan sebagaimana dilakukan wanita yang melahirkan anak.

"Selain itu, saya juga sudah mula makan ubat asid folik untuk kesuburan. Apapun, dengan pengalaman keguguran ini akan membuatkan saya lebih berhati-hati sekiranya disahkan hamil lagi akan datang.

"Segala yang berlaku, saya terima dengan positif kerana percaya pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Saya yakin ada benda lain yang terbaik Allah nak berikan kepada saya dan suami dulu sebelum rezeki anak," katanya.

Fida yang pernah popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang 2021 dan drama Cinta Tikar Sejadah berkata, dia sangat berterima kasih kepada suami, keluarga dan semua yang mendoakannya serta terus memberi kata-kata semangat.

Fida melangsungkan pernikahan dengan suami yang juga bekas pengurusnya, Shahzemir pada 5 Mei lalu di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini.

Pasangan yang sudah berkenalan selama 17 tahun itu juga kini aktif dalam perniagaan.

Fida berkata, suaminya turut reda dengan apa yang berlaku kerana sesungguhnya belum tiba rezeki mereka untuk menimang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 2:20 PM