FOTO Britney (kiri) dan bapanya, Jamie Spears.
FOTO Britney (kiri) dan bapanya, Jamie Spears.
Agensi

Los Angeles: Bapa kepada penyanyi Britney Spears, Jamie Spears akhirnya dilucutkan hak penjagaan ke atas anaknya itu selepas 13 tahun.

Arahan itu dikeluarkan hakim Mahkamah Los Angeles dan mula berkuat kuasa, semalam.

Pada Jun lalu, Britney yang juga bintang pop terkenal memaklumkan kepada pihak pengadilan bahawa hak penjagaan itu yang bermula pada 2008 amat menyeksa dirinya.

Malah, penyanyi itu turut memfailkan dokumen memohon agar bapanya itu disingkirkan hak sebagai penjaga terutama dari segi harta bernilai RM251 juta.

Hakim Mahkamah Los Angeles, Brenda Penny berkata keadaan semasa tidak lagi sesuai dan ia memerlukan Jamie Spears melepaskan hak penjagaan berkuat kuasa Rabu.

Tambahnya, hak penjagaan aset penyanyi itu akan dijaga oleh seorang akauntan dilantik mahkamah buat sementara waktu.

Untuk rekod, Britney masih dibawah pengawasan profesional, Jodi Montgomery yang menguruskan urusan perubatan dan peribadinya.

Sebelum ini masalah kesihatan mental penyanyi itu tidak pernah didedahkan secara terbuka.

Namun, kempen yang dijalankan oleh peminatnya menerusi #FreeBritney menuntut hak kebebasannya dari segi undang-undang agar membebaskan dia daripada hak penjagaan bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 11:41 AM