AMYRA bakal mula bersiaran dalam program Nona bermula 8 Ogos ini.
AMYRA bakal mula bersiaran dalam program Nona bermula 8 Ogos ini.
Najiy Jefri


SELEPAS hampir empat tahun pelakon jelita Mira Filzah mengendalikan program Nona di TV3, kini tempat itu digantikan dengan pelakon Amyra Rosli bermula 8 Ogos ini.

Mengakui teruja dengan tanggungjawab baharu yang dipikul, Amyra mengakui sejak dulu lagi dia pernah pernah memasang impian untuk menjadi pengacara, namun hasrat itu terpaksa dipendam kerana menganggap dirinya tidak cukup ilmu.

"Apabila saya ditawarkan untuk menjadi pengacara Nona, memang saya terkejut. Sejak dulu memang saya memasang impian untuk menjadi pengacara, namun saya fikir ilmu belum cukup lagi ketika itu.

"Jadi bila diberi peluang oleh TV3 untuk mengendalikan Nona, saya tidak berfikir panjang dan bersedia untuk menyahut cabaran ini," katanya.

Walaupun gementar untuk mengendalikan program popular itu, namun dia sentiasa mahu mencabar diri melakukan perkara baharu dalam hidupnya.

"Tipulah kalau rasa tak takut, tapi tidak mengapa. Saya anggap peluang ini sebagai satu bentuk cabaran untuk diri sendiri.

"Pengacaraan adalah bidang baru bagi saya. Selain itu saya juga ingin keluar dari zon selesa sebagai pelakon dengan menimba ilmu baharu," katanya.

Menurut Amyra, sebagai pengacara dia ingin membawa kelainan baharu selain ingin menjadi diri sendiri.

AMYRA ingin membawa kelainan baharu sebagai pengacara Nona selain ingin menjadi diri sendiri.
AMYRA ingin membawa kelainan baharu sebagai pengacara Nona selain ingin menjadi diri sendiri.

"Tugas sebagai pengacara sememangnya bukan mudah dan saya akui sedikit gementar tapi banyakkan membaca dan membuat latihan mengenai cara penyampaian yang baik.

"Semua orang tahu yang Nona sentiasa membawa imej keanggunan dan elegan, cuma kali ini ada kelainan sikit yang saya akan lakukan iaitu dengan mengekalkan keanggunan serta gaya yang lebih bersahaja.

"Saya percaya mungkin cara itu lebih dekat dengan penonton," katanya.

Menurut Amyra, buat masa ini belum ada kecaman yang diterima apabila diumumkan sebagai pengacara Nona yang baharu.

"Setakat ini saya tidak menerima apa-apa komen atau mesej peribadi yang mengecam. Mungkin sebab saya selalu kongsi perkara yang positif di media sosial, membuatkan tiada apa yang perlu diperbesarkan.

"Cuma sekarang ini orang ramai menantikan apa kelainan yang saya akan tampilkan membuatkan saya agak gementar. Insya-Allah saya akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Amyra yang menjadikan bekas personaliti televisyen, Puan Sri Normala Samsudin sebagai inspirasi turut meluahkan rasa teruja apabila suaminya yang juga pelakon Amar Baharin merestui setiap pilihan yang dibuatnya.

"Amar sangat gembira dan suka melihat graf kerjaya seni saya semakin meningkat. Dia antara individu yang sentiasa beri saya semangat untuk cuba perkara baharu," katanya.

Beralih mengenai perasaan peribadi sebaik mengetahui dirinya akan menggantikan posisi Mira Filzah, ibu kepada dua cahaya itu mengakui banyak perkara yang difikirkannya.

"Pelbagai tanda tanya sebenarnya bermain di fikiran saya seperti adakah Mira sedang hamil atau tamat kontrak.

"Saya ada terfikir nak hantar mesej peribadi kepadanya tetapi tak terluah dengan kata-kata sebab pada ketika itu pihak Media Prima Berhad masih lagi berbincang dengannya. Malah ketika itu masih belum ada kata putus.

"Jadi saya ambil pendekatan akan bagi tahu Mira selepas sidang media ini. Saya akan hubungi untuk tanyakan tip atau pendapat sebagai kawan-kawan dan juga keluarga Nona," katanya.

Selain Mira dan Normala Samsudin, antara nama lain yang pernah menjadi pengacara bagi program Nona yang mula bersiaran sejak tahun 1991 ialah Datin Sri Norjuma Habib, Maya Karin, Vanida Imran, Fara Fauzana, Neelofa dan Fouziah Ghous.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:00 AM