NANA bertindak sebagai hos program.
NANA bertindak sebagai hos program.
Najiy Jefri


BAGI memberi inspirasi, sokongan dan panduan kepada wanita di seluruh Malaysia untuk meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran dalam keusahawanan, Maggi membawakan program realiti TV, Resipi Berani Maggi yang bakal bersiaran setiap Rabu, jam 5.30 petang di TV3 bermula 14 Julai ini.

Program realiti TV enam episod yang dilancarkan baru-baru ini adalah sebahagian daripada kempen Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi (PMWCBM) yang menerima penyertaan kira-kira 1,000 wanita.

Daripada jumlah itu, lapan mentee terpilih sebagai finalis dalam program realiti yang dijalankan berdasarkan ketahanan, keberanian dan tekad untuk berjaya dalam perniagaan makanan dari rumah.

Mereka yang terpilih terdiri daripada pemilik perniagaan makanan dari rumah iaitu Aza Syima Abdullah, Bibiaminani A Ghani, Haslina Mohd Idris, Mazzaton Miza Wahab, Nur Azreen Masera Albakri, Nur Hidayah Jeffri, Roslina Mohd Isa dan Siti Aishah Abd Razak.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Geetha Balakrishn berkata, salah satu tujuan utama kempen itu adalah untuk memberi inspirasi kepada lebih banyak wanita melangkah keluar dari zon selesa untuk mencuba sesuatu yang baharu.

"Kempen ini akan memberikan peluang peningkatan kemahiran buat mentee sambil memperlihatkan transformasi perjalanan hidup dan kerjaya mereka.

"Kami sudah melihat bagaimana para mentee dapat melangkah keluar dari zon selesa mereka, mengatasi cabaran dan merasai peningkatan kemahiran di bawah bimbingan Mentor yang berwibawa," katanya.

Menurut Geetha, pemenang utama Resipi Berani Maggi akan menerima modal benih sebanyak RM8,000 dan program bimbingan peribadi selama lapan minggu.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima modal sebanyak RM5,000.

Apa yang menarik, program Resipi Berani Maggi turut memperkenalkan tiga mentor yang cukup terkenal iaitu duta jenama Maggi CukupRasa iaitu Datin Paduka Eina Azman, selebriti yang juga pemilik restoran The Dim Sum Place, Sheila Rusly dan ikon usahawan muda 2019 dan pemilik kedai My Mum's Bakery, Anne Idris.

(DARI kiri) Sheila, Eina dan Anne bertindak sebagai mentor Resipi Berani Maggi.
(DARI kiri) Sheila, Eina dan Anne bertindak sebagai mentor Resipi Berani Maggi.

Program Resipi Berani Maggi dihoskan Nana Mahazan.

Sementara itu, Sheila berkata, banyak pengalaman manis yang dicipta bersama barisan mentor dan mentee.

"Saya seronok setiap kali proses penggambaran dimulakan sebab macam-macam ragam dapat kita saksikan. Saya serta rakan-rakan mentor lain cukup teruja dengan bakat serta semangat yang dimiliki barisan mentee.

"Selain itu, kru produksi program ini sangat memberikan komitmen yang baik sekali gus memberi satu pengalaman manis dalam hidup saya," katanya.

Eina berkata, dia teruja apabila dapat berkongsi pelbagai tips dan pengalaman sepanjang bergelar selebriti dan duta Maggi CukupRasa.

"Banyak pengalaman yang saya kongsi bersama mentee. Antaranya bagaimana nak membina keyakinan di hadapan kamera serta penyediaan makanan yang dimasak.

"Saya juga sentiasa mengingatkan kepada mentee supaya mencipta identiti serta karakter tersendiri. Ini kerana, setiap individu atau usahawan perlu menonjolkan karakter yang berbeza dan keunikan yang dimiliki," katanya.

Dalam pada itu, Maggi akan menganjurkan Bengkel Online Wanita Cukup Berani Maggi dengan kerjasama program Google's Women's Will pada 27 hingga 29 Julai ini dan juga pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Geetha berkata, mereka yang berminat boleh mendaftar menyertai program terbabit.

Peserta yang terpilih akan berpeluang menghadiri Masterclass: Cara Menjayakan Perniagaan Makanan yang eksklusif serta serba baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:44 AM