R Ramasundran. FOTO Facebook Persatuan Teater Malaysia
R Ramasundran. FOTO Facebook Persatuan Teater Malaysia
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Mayat mendiang pelakon dan pelawak R Ramasundran, 57, dibawa ke Amman Setapak Temple, Setapak, di sini, tengah hari, hari ini untuk penghormatan terakhir.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan berkata, keluarga mendiang memberi peluang kepada rakan-rakan penggiat seni dan peminat untuk memberikan penghormatan terakhir.

"Jam 2 petang, mayatnya akan dibawa ke Tanah Perkuburan Cheras, Jalan Kuari untuk disempurnakan. Kami berharap mereka yang hadir memberikan penghormatan agar mematuhi SOP (prosedur operasi standard)," katanya.

Ramasundran atau nama sebenarnya Ramassuntran Rengan meninggal dunia awal pagi kelmarin di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mendiang yang bergelar Kapt (B) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dimasukkan ke bahagian kecemasan HKL kira-kira jam 12 tengah malam kerana kakinya bengkak.

Doktor mengesahkan Ramasundran yang juga Naib Presiden Persatuan Teater Malaysia itu mempunyai sejarah masalah jantung.

Mendiang dikenali menerusi sitkom popular Spanar Jaya.

Antara filem yang pernah dibintangi pula ialah Kerja Kahwin, Sini Ada Hantu, Aku Kaya The Movie dan Cinta 200 Ela.

Dia meninggalkan seorang balu, Kamala Cheriakannan dan tiga anak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 11:33 AM