EBBY pernah menangis ketika meraikan Aidilfitri di negara orang.
EBBY pernah menangis ketika meraikan Aidilfitri di negara orang.
Norhayati Nordin


SETIAP kali Aidilfitri menjelma pasti ada kenangan lama yang menggamit memori. Bagi pelakon dan pelawak, Ebby Yus hingga kini dia masih mengingati pengalaman dirinya beraya di negara orang.

Ebby 57, berkata, situasi 'pedih' itu dilaluinya pada sekitar 1990-an lalu. Katanya, ketika itu dia mendapat tawaran berlakon filem usaha sama di Indonesia dan perlu menjalani penggambaran di sana sejak Ramadan.

"Justeru, ketika hari raya memang kami (pelakon) boleh bercuti seketika, tapi saya tak dapat balik ke Malaysia waktu nak perayaan itu kerana tiket penerbangan agak mahal dan kena beli sendiri. Jadi, selepas berfikir semasak-masaknya saya buat keputusan lebih baik simpan duit.

"Bagaimanapun, beraya di negara orang memang tak sama dengan di tanah air sendiri. Jujur saya katakan, air mata saya jatuh menitis apabila terkenang orang tua dan keluarga yang berkumpul di kampung.

"Ketika itu, perasaan rindu yang bersarang di hati tak terkata beratnya. Ikutkan rasa hati memang nak balik sangat ke Malaysia, tapi apakan daya komitmen kerja masih ada dan penggambaran perlu disiapkan juga," katanya.

Menurut Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, walaupun jarak antara Malaysia dan Indonesia tidak begitu ketara jauhnya, tapi perbezaan budaya dan bahasa itu yang membuatkan perasaan menjadi sedih pilu.

Berbicara juga perkembangan terbaharu kerjaya lakonannya, Ebby berkata, dia teruja menantikan sambutan dan sokongan penonton terhadap sitkom JKK Raya 2021 yang disiarkan TV3 pada 13 Mei ini, jam 11 malam.

Katanya, sitkom popular dan disukai ramai itu sudah memasuki musim baharu yang ketujuh. Menurut Ebby, dia sama sekali tidak menduga sitkom berkenaan mampu bertahan penyiarannya selama bermusim-musim.

"Walaupun ada watak lama yang diganti, tapi kemasukan 'karakter baharu' seperti Lola dan Kojack sejak beberapa musim lalu sangat membantu Jenaka Kampung Kalut (JKK) terus diminati ramai.

"Terus terang, saya sendiri sudah selesa berlakon dengan semua pelakon yang terbabit dalam sitkom ini. Kami umpama satu keluarga besar yang ikatan silaturahim agak kuat bagaikan saudara," katanya.

Kata Ebby lagi, kesemua pelakon sitkom itu bukan sekadar memberi kerjasama yang baik, tetapi komitmen padu. Katanya, semua orang sangat faham dengan karakter masing-masing dan saling sama membantu.

Selain Ebby yang melakonkan watak ketua kampung, Pak Din, barisan pelakon lain dalam sitkom JKK ialah Ropie, Ain Idruce, Issey Fazlisham, Shuk Sahar, Salman dan Jiggy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:44 AM