Agensi

Los Angeles: Penyanyi Justin Bieber menegur seorang paparazzi yang mengambil gambar bahagian bawah skirt isterinya, Hailey Baldwin.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mereka sedang berjalan dan menaiki bas peribadi selepas menikmati makan malam di sebuah restoran di Los Angeles.

Selepas masuk dan menutup pintu, Bieber dengan nada tenang namun menampakkan wajah kesal, membuka pintu sambil bertanya kepada seorang paparazzi sama ada mengambil gambar bahagian terlarang isterinya.

Bagaimanapun paparazzi ini menafikan dan mempertahankan diri dengan berkata, tiada sebab untuk dia berbuat demikian.

Bieber membalas dengan tegas bahawa tindakan mengambil gambar bahagian terlarang ini perlu diketahui tujuannya.

Paparazzi lain yang berada di situ mempertahankan rakannya dan memberitahu tidak mungkin mereka melakukan tindakan sedemikian.

Tuduhan Bieber tidak berlanjutan apabila tidak ada gambar terlarang yang dapat membuktikan tuduhan ini.

Pasangan yang berkahwin pada September 2018 ini memang kerap menghabiskan waktu berdua di tempat umum. Dia yang sering berdepan dengan paparazzi mengakui kurang selesa dengan tindakan mereka yang sentiasa mengekorinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:38 PM