Amylea anggap keajaiban dan rezeki apabila dapat lancarkan lagu Kendati.
Amylea anggap keajaiban dan rezeki apabila dapat lancarkan lagu Kendati.
Sudirman Mohd Tahir


LAGU terbaharu penyanyi, Amylea berjudul Kendati bukan saja menjadi antara lagu tema drama Takdir Yang Tertulis yang sedang hangat ditayangkan di TV3, tapi ia juga karya yang dianggap 'takdir yang tertulis' buat dirinya.

Kendati yang membawa maksud walaupun itu adalah ciptaan sepenuhnya Amylea yang dihasilkan tahun lalu dan dilancarkan secara rasmi pada 31 Januari lalu serentak dengan video lirik di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Amylea yang sudah terbabit dalam bidang penciptaan lagu sejak 2007 dengan anggaran lebih 100 lagu yang dihasilkan turut menyifatkan Kendati adalah keajaiban dan rezeki daripada Allah SWT.

Malah, lebih istimewa apabila lagu itu berada di kedudukan 'trending' di YouTube selepas dilancarkan.

"Alhamdulillah, lagu ini masih 'trending' di YouTube. Sangat bersyukur pada Allah. Dia Maha Mengetahui dan Maha Melihat segala dugaan yang saya dan pasukan lalui terutama sepanjang tahun lalu yang penuh cabaran buat kita semua.

"Sebenarnya lagu ini tidak tahu bila nak dilancarkan. Tapi, rezeki buat saya apabila syarikat produksi, Radius One cakap saya kena keluarkan juga dan minta saya arahkan sendiri video sebab peralatan memang ada di pejabat mereka. Ini kesempatan buat saya apabila mereka beri peluang dan keluarkan lagu ini di YouTube walaupun drama sudah ditayang seminggu awal.

"Bagi saya ini adalah keajaiban daripada Allah. Saya tak rancang pun nak keluarkan sebab kita banyak halangan dan tak tahu nak buat penggambaran ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Memang tak ada cara lain. Saya sudah reda. Saya fikir tak apa, mungkin ada waktu sesuai Allah nak bagi," katanya.

Amylea juga berkongsi apabila terdapat segelintir pihak yang memandang rendah lagu ciptaannya itu sehingga membuatkan dia terfikir untuk menangguhkan pelancaran lagu itu.

Kendati adalah ciptaan penuh selepas dua tahun fokus menghasilkan lirik.
Kendati adalah ciptaan penuh selepas dua tahun fokus menghasilkan lirik.

"Sejak buat Kendati tahun lalu dan dalam masa sama banyak lagu juga saya tulis untuk artis lain. Ada yang sudah rakam, ada yang belum dan ada yang sedang dalam proses rakaman, tapi PKP pula.

"Sepanjang tiga bulan ini, saya tulis dalam 20 lagu termasuk lagu tema drama, jingles dan program TV lain. Jadi, tiga bulan yang sangat sibuk untuk saya dan tak ada masa nak keluarkan Kendati.

"Inilah dikatakan rezeki yang mana Allah tunjukkan sewaktu menghasilkan Kendati ada beberapa pihak yang memandang rendah lagu ini. Saya fikir ini antara sebab kenapa saya tak keluarkan cepat sebab saya berasa lagu ini takkan diterima orang. Sebenarnya memang ada pihak yang merendah-rendahkan lagu ini pada mulanya," katanya.

Berada di kedudukan 'trending' seolah-olah memberikan gambaran awal akan kejayaan lagu Kendati seperti mana kebanyakan lagu ciptaannya yang lain.

Malah, daripada lagu ciptaan dan dinyanyikan sendiri, Amylea mendapat jolokan 'soulful singer'.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya orang kenal saya sebagai penyanyi dan penerbit yang pentingkan 'feel' serta penyampaian sesuatu lagu. Saya fikir, saya sendiri yang tulis kata-kata jadi berasakan ia sangat penting untuk seorang penyanyi itu menyampaikan cerita lagu itu sebaiknya melalui alunan suara dan lakonan dalam nyanyian yang tepat dengan cerita.

"Saya nak ucapkan terima kasih pada syarikat rakaman 17 Eleven Music dan Radius One terutama Hisyam Abdul Karim, Shahrulezad Mohameddin dan Fazli Baharom kerana percaya dengan bakat saya. Saya menghasilkan lagu tema untuk drama mereka sejak 2007 lagi.

"Perjalanan panjang bersama mereka dan sampai sekarang peluang diberikan kepada saya termasuk drama terbaru iniTakdir Yang Tertulis. Selepas ini ada beberapa drama lagi. Bukan Kendati saja, tapi ada lagu lain lagi cuma belum keluar saja. Saya berharap peminat akan menantikan lagu yang akan dikeluarkan untuk artis lain juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 6:00 AM